Tuesday, December 30, 2008

Tahun 2008 Yang Penuh Peristiwa

Apakah 2009 menjanjikan harapan dan musibah?
PADA Rabu ini, berakhirlah tahun 2008. Kita akan menjengah tahun 2009. Terlalu banyak drama dan peristiwa tahun yang bakal kita tinggalkan. Yang pasti negara ini menggelegak dengan pelbagai kisah, drama dan intrig politik. Sidang Parlimen tidak pernah membosankan. Ada sahaja peristiwa yang berlaku. Perbahasan sentiasa panas. Oleh sebab Barisan Nasional (BN) tidak menguasai dua pertiga kerusi, maka tidak mudah untuk kerajaan meluluskan apapun rang undang-undang yang dibawakannya. Demikianlah Malaysia yang selama ini dianggap negara yang 'stabil' dari segi politik berdepan dengan pelbagai peristiwa di luar jangkaan banyak pihak. Benar, kita tidak menghadapi krisis politik seteruk banyak negara lain. Memang benar kestabilan politik menjanjikan program pembangunan berjalan lancar selama lebih lima dekad kemerdekaan negara. Dan memang benar selama ini pimpinan BN menganggap penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen satu 'tradisi', malah hak mereka. Memang benar juga Perikatan (gabungan sebelum BN) pernah dinafikan dua pertiga dalam pilihan raya 1969, tetapi selepas itu, Perikatan dan kemudian BN mendapat laluan mudah untuk mencapai kedudukan dua pertiga.
Laluan itu terlalu mudah hingga banyak pemimpinnya menjadi bongkak dan mengambil mudah sokongan rakyat. BN 'diajar' oleh pengundi pada tahun 2008. Masyarakat dan nilainya telah berubah. Pengundi baru muncul dan medium baru untuk berkomunikasi bertapak kukuh dalam masyarakat. Tetapi ada pemimpin BN masih dalam kapsul masa yang mengandaikan segala-galanya tidak mungkin berubah. Sepuluh tahun yang lalu - 1998 - negara ini digegarkan dengan peristiwa penyingkiran Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tahun 2008, negara ini bergegar lagi dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12. BN tumbang di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Anwar pula menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan kini kembali ke Parlimen. Lihat sahajalah siapa yang menjadi Ahli Parlimen baru kita. Siapa yang boleh menduga jurugambar video, blogger dan pengerusi penduduk setempat akan menduduki kerusi Parlimen? Gelombang penolakan rakyat begitu besar hinggakan siapa sahaja yang bertanding atas tiket parti lain akan menang.
Selepas itu, negara berada dalam keadaan suspens ekoran kenyataan Anwar bahawa Pakatan Rakyat (PR) mempunyai cukup Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru. Sasarannya ialah 16 September, tarikh keramat yang menandakan kelahiran Malaysia. Tarikh itu datang dan pergi, kerajaan baru tidak terbina. Ada yang percaya Anwar mempunyai bilangan lebih kurang 30 orang yang didakwanya 'melompat' pada PR, cuma kebanyakan mereka bukan beragama Islam yang tentu tidak akan diterima oleh sekutunya, Pas. Ada yang mengatakan Anwar tidak lebih sekadar mahu mencorakkan agenda media. Ada yang tidak berselindung menuduh Anwar berbohong dan kenyataan dikeluarkannya tidak lebih gimik politik. Kita akan mengakhiri tahun ini dengan episod sedih peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kira-kira 15 tahun yang lalu - 1993 - bangunan Highland Towers menjunam ke bumi. Kawasan sekitar yang tidak selamat menjadi lebih tidak selamat dengan pelbagai rupa pembangunan di sekitarnya. Kita tidak pernah mahu belajar dari sejarah. Kita memusnahkan alam sekitar tanpa perkiraan, kita mendirikan binaan di lereng bukit tanpa mengambil kira bahaya yang datang. Tahun 2008 juga menandakan kesediaan pemimpin tertinggi BN dan Umno mengambil tanggungjawab kekalahan pilihan raya 2008 dengan menerima pelan peralihan kuasa. Akibat desakan yang menuntut perubahan amat ketara pada peringkat akar umbi pelan itu, malah dipercepatkan pada Mac 2009. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menganggap perlu menyelesaikan beberapa 'reformasi' sebelum melepaskan jawatan. Dua rang undang-undang penting membabitkan rasuah dan kehakiman dianggap sebagai legasi yang akan ditinggalkan bagi menandakan era pemerintahannya. Kurang daripada tiga bulan lagi kita akan mendapat Perdana Menteri baru - Datuk Seri Najib Razak - yang akan mencorakkan pula landskap politik negara ini. Selama lebih tiga dekad Najib telah membuktikan keupayaannya mengharung pelbagai cabaran dalam dunia politik. Beliau tentulah sudah cukup bersedia mengambil alih tanggungjawab yang besar itu. Di luar sana, 2008 nampaknya jauh lebih tidak selamat dari tahun sebelumnya. Pusat komersial dan lambang kebangkitan ekonomi India - Mumbai - bulan lalu menghadapi serangan ekstremis. Sekali lagi, bahaya perang di antara India dan Pakistan tergambar. India menuduh Pakistan membiayai dan melatih penyerang Mumbai. Thailand bergolak lagi. Memang tradisi menukar kerajaan sama kerapnya dengan amalan menukar kereta rakyatnya. Tetapi kali ini demonstrasi melumpuhkan Bangkok. Dan apabila mahkamah agung negara itu mengisytiharkan kerajaan yang ada tidak sah, Thailand berada di ambang anarki. Hari ini, Perdana Menteri baru memimpin negara itu.
Ekonomi dunia bergolak ekoran tumbangnya beberapa buah syarikat kewangan utama di negara maju, selain merudumnya pasaran saham di Amerika Syarikat (AS). Pada 6 dan 7 Oktober sahaja, kerugian pasaran saham dunia dianggarkan RM21.4 trilion. Kita tahu apa yang berlaku selepas itu. Pakej menyelamat (bailout) harus disediakan oleh kerajaan AS, Britain dan negara maju yang lain untuk membantu syarikat-syarikat yang bermasalah. Hal yang sama apabila berlaku di Asia sewaktu krisis ekonomi 1997/98 akan dianggap amalan tidak wajar dan membantu kroni. Cerita yang menyenangkan dalam kelam-kabut krisis dan berita buruk dunia ialah kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden AS. Beliau akan menjadi presiden yang ke-44 bagi negara itu. Apa yang membezakan Obama dengan yang lain ialah beliau merupakan presiden pertama yang berkulit hitam bagi AS. Lima puluh tiga tahun lalu, seorang wanita berkulit hitam didakwa kerana enggan meninggalkan tempat duduknya dalam bas untuk diberikan pada seorang lelaki berkulit putih. Tindakan Rosa Parks itu membangkitkan gerakan hak asasi yang luar biasa. AS yang disegregasikan membuka pintu dan peluangnya pada mereka yang berkulit hitam dan kaum minoriti yang lain. Hari ini, kita melihat hasil dari gerakan itu. Obama diterima oleh semua pihak sebagai pemimpin negara paling berkuasa di dunia. Tiada siapa yang membayangkan hal itu akan berlaku 50 tahun yang lalu. Apakah Obama boleh mengubah AS atau AS akan mengubah Obama satu hal yang lain. Beliau menjanjikan perubahan. Malah 'Berubah' merupakan slogan kempen beliau. Dasar luar AS tidak berubah kerana berubahnya presiden. Besar kemungkinan AS akan memastikan kelangsungan dasar luar yang ada – pro-Israel, menjadi kaki buli, bertindak secara bersendirian, angkuh dan tidak menghormati orang lain. Dengan melantik Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara, Obama menghantar isyarat bahawa dasar AS terhadap negara Islam, Palestin dan Israel tidak akan banyak berubah. Clinton ialah Senator dari New York, satu-satunya kota di AS yang mengisytiharkan cuti Yahudi sebagai cuti rasmi. Sebelum kita membuat telahan lebih lanjut, elok juga diberi peluang pada Obama menunjukkan prestasinya. Oh ya, imej yang paling diingat pada tahun ini? Presiden Bush mengelak daripada lontaran kasut wartawan Iraq Muntazer al-Zaidi dalam satu sidang media di Baghdad. Moral ceritanya? Rakyat Iraq tidak memaafkan Bush kerana menakluk negara itu. Al-Zaidi pula menjadi hero baru di negara Arab. Kasut oh kasut!

No comments:

Post a Comment