Friday, June 19, 2009

Bersatu Dalam Kepelbagaian Budaya

NEGARA kita yang dihuni oleh pelbagai bangsa yang berlainan agama, adat resam dan budaya, usaha untuk melaksana pembangunan bukanlah satu tugas yang mudah. Jadi satu pendekatan khas perlu dikenal pasti. Pada masa yang sama pendekatan tersebut perlulah bersifat berkecuali dan tidak dilihat sebagai menyebelahi mana-mana kumpulan kaum yang terdapat di negara terbabit.
Apa yang jelas, usaha pembangunan akan menjadi mudah jika sesebuah masyarakat itu diikat dengan unsur kesatuan dan perpaduan. Kesatuan ini akan bertambah kukuh jika mereka bergabung di atas dasar saling percaya mempercayai dengan kumpulan masyarakat yang lain.
Di dalam sejarah awal tamadun Islam, unsur kesatuan adalah asas kekuatan kepada sebuah negara yang didiami oleh masyarakat majmuk. Unsur kesatuan ini dititikberatkan oleh pemerintah kerajaan Islam pada masa silam dapat diperhatikan melalui fasal-fasal yang terdapat di dalam Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah.
Madinah pada peringkat awal ketibaan Nabi Muhammad SAW adalah sebuah penempatan yang dihuni oleh masyarakat beragama Islam dan bukan beragama Islam (terutamanya suku-suku Yahudi). Jadi sebagai langkah awal untuk mentadbir sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, Nabi SAW telah mewujudkan satu perlembagaan yang dikenali sebagai Sahifah al-Madinah atau Piagam Madinah
Sahifah al-Madinah yang didraf oleh Rasulullah SAW selaku pengasas dan ketua kerajaan Islami Madinah pada waktu itu mengandungi 47 fasal. Apa yang menarik sekali ialah baginda SAW meletakkan unsur kesatuan dan keperluan merujuk kepada satu perlembagaan yang sama yakni Sahifah al-Madinah itu oleh semua penduduk sebagai dua fasal awal kandungan piagam tersebut.
Berikut adalah Fasal 1 dan Fasal 2 yang dimaksudkan:
Fasal 1 : Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Penyayang: Inilah kitab (Piagam Bertulis) daripada Nabi Muhammad, pesuruh Allah bagi orang yang beriman dan orang yang memeluk agama Islam daripada Quraish dengan penduduk Yathrib dan orang yang bersama mereka lalu masuk ke dalam golongan mereka dan berjuang bersama-sama mereka.
Fasal 2 : Bahawa mereka adalah satu umat (bangsa) berbeza dari manusia lain.
Apa yang terkandung di dalam dua fasal awal piagam ini dapat diterjemahkan sebagai satu penekanan oleh Nabi SAW terhadap unsur kesatuan dan kesepaduan bagi memastikan masyarakat majmuk dapat menikmati satu kehidupan yang harmoni dan bermutu di dalam sesebuah negara.
Selain itu bagi mengelak sebarang prasangka yang boleh menghakis keutuhan perpaduan kaum, Sahifah al-Madinah turut menyenaraikan jaminan perlindungan keselamatan yang sama rata kepada setiap penduduk Madinah termasuklah kaum Yahudi selama mana mereka mematuhi isi kandungan piagam. Ini dapat dilihat di dalam Fasal ke-15 dan Fasal ke-16. Manakala di dalam Fasal 47 pula, mana-mana pihak yang berlaku zalim atau melakukan kesalahan tidak diberi sebarang keistimewaan atau perlindungan di bawah piagam itu.
Apa yang lebih menarik, walaupun penduduk Madinah ini merupakan satu ummah atau satu bangsa, namun di dalam Fasal ke-25 mereka diberi kebebasan untuk mengamalkan anutan masing-masing.
Ini merupakan satu bentuk penghormatan yang diberikan oleh agama Islam kepada penganut agama lain untuk bebas mengamalkan ajaran agama masing-masing tanpa sebarang gangguan atau sekatan daripada pihak pemerintah Muslim.
Bagaimanapun, sebagai imbalan kepada jaminan pelbagai hak yang diberikan oleh pemerintah, para penduduk dikehendaki bertanggungjawab untuk sama-sama berganding bahu menyumbang kepada pembangunan dan kemakmuran bidang-bidang kewangan, ekonomi dan kemasyarakatan.
Pernyataan ini disebut di dalam Fasal ke-37 seperti berikut: Bahawa orang Yahudi hendaklah membiayai negara seperti mana orang mukmin juga hendaklah membiayai negara; dan hendaklah mereka sama-sama tolong-menolong menentang sesiapa jua yang memerangi orang yang menganggotai Piagam ini; dan hendaklah mereka saling nasihat-menasihati, sama-sama membuat kebajikan.
Ini menggambarkan bahawa satu bangsa yang bersatu bukan sahaja berkongsi negara malah mereka juga perlu berkongsi usaha untuk memajukan negara dalam pelbagai bidang kehidupan.
Dalam perkembangan terkini di negara kita, pengenalan pendekatan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dilihat sebagai tidak bercanggah dengan semangat kesatuan yang menjadi unsur utama kandungan sahifah yang dibangunkan pada tahun pertama penghijrahan baginda SAW ke kota Madinah.
Selain itu, pendekatan ini turut memperlihatkan unsur-unsur keadilan dan tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak menerusi satu jaminan yang diberikan oleh Perdana Menteri kepada rakyat di mana di bawah Satu Malaysia tiada ahli masyarakat akan berasa terpinggir kerana semua pihak tanpa mengira latar belakang agama, sosioekonomi dan budaya dijanjikan satu pembelaan yang sewajarnya oleh pentadbiran Malaysia.
Tidak nampak kewarasan untuk kita menolak pendekatan ini. Ia adalah satu dasar yang amat baik dan patut diberi sokongan padu oleh kita semua bagi memastikan segala matlamat akhir yang disasarkannya iaitu menjelmakan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat dapat dijelmakan.
Cuma apa yang perlu kita fikirkan bersama ialah apakah alat-alat yang sesuai yang boleh dijadikan sebagai landasan untuk kita bersatu. Cukupkah dengan janji-janji pemerintah bahawa tiada ahli masyarakat yang akan dipinggirkan dalam arus pembangunan negara dapat menjadikan rakyat Malaysia ini bersatu?
Apakah bentuk-bentuk pelaksanaan yang boleh dilakukan bagi merapatkan hubungan 27 juta penduduk Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan adat resam ini?

Damaikan Pertelingkahan Sesama Islam

KEHIDUPAN yang aman dan damai menjadi cita-cita setiap orang. Oleh itu usaha mewujudkan perdamaian harus dilakukan oleh semua.
Ia bersesuaian dengan firman Allah SWT yang bermaksud: Sesungguhnya mukmin itu bersaudara, maka ciptakanlah perdamaian di antara saudaramu. (Surah Al-Hujuraat ayat 10).
Masyarakat akan menjadi haru-biru sekiranya pemimpin tidak mempunyai hati yang sejahtera, beremosi dan masih menaruh dendam kesumat terhadap saudara seislam.
Perdamaian atau damai dalam bahasa al-Quran, biasanya ditunjuk dengan kata salam. Ia terulang dalam al-Quran sebanyak 42 kali, dalam pelbagai konteks. Di luar al-Quran, kata ini sangat popular, bukan sahaja di kalangan agamawan tetapi juga di kalangan ahli politik.
Bahkan di seluruh dunia seruan untuk damai sering dilaungkan. Namun entah kenapa kata tersebut hanya mudah ditemui dalam ucapan dan tulisan tetapi amat sukar untuk dilihat dalam kenyataan.
Kita lupa doa yang sering kita baca setiap selesai solat yang bermaksud: Ya Allah Engkaulah yang Maha Damai, daripada Mu bersumber kedamaian dan kepada Mu kembali kedamaian. Hidupkanlah kami dalam kedamaian dan masukkanlah kami ke syurga negeri yang penuh kedamaian.
Namun itu semua belum cukup kuat untuk mendorong terciptanya perdamaian di bumi ini.
Konsep mengenai 'salam' atau 'damai' memang sangat penting dan utama dalam Islam. Perkataan Islam sendiri bermakna "orang yang berdamai dengan Tuhan". Dan Tuhan pun berdamai dengan orang tersebut. Maka orang tersebut akan memperolehi jalan selamat iaitu keadaan yang sejahtera bahawa kita mencapai qalb-un salim (hati yang sejahtera). Ada suatu gambaran nanti di akhirat bahawa tidak ada orang yang merasa tenteram kecuali mereka yang mempunyai hati yang utuh dan sejahtera.
Damai menjadi tujuan hidup setiap Muslim kerana Allah mengajak ke Dar Al-Salam (lihat Al-Quran Surah Yunus ayat 10). Tanpa Al-Salam, iaitu Allah SWT atau tanpa salam yang bererti "damai" dalam jiwa manusia serta dalam interaksinya maka segalanya akan rosak, bahkan tiada lagi kehidupan itu.
Kedamaian tidak mungkin tercipta dalam masyarakat sebelum ia disemai dalam diri individu itu sendiri. Bagaimana kita dapat memberi damai kalau kita sendiri tidak memilikinya?
Damai yang dikehendaki Islam bukan hanya yang bersifat lahiriah, tetapi juga batiniah, termasuk menghindarkan hati daripada segala aib dan kekurangan, dengki atau hasad, menghasut serta segala macam kehendak negatif terhadap pihak lain.
Demikian juga menurut Al-Ghazali: "Siapa yang selamat hatinya daripada hal-hal tersebut, maka akan selamat pula anggota badannya daripada segala kejahatan dan selamat pula hatinya daripada kesesatan dan dengan demikian dia akan datang menghadap Allah dengan hati yang selamat".
Membaca, menghayati dan mengamalkan petunjuk-petunjuk al-Quran adalah jalan memperolehi kedamaian. Ini kerana al-Quran adalah petunjuk yang diturunkan oleh Allah SWT yang menyatakan diri-Nya sebagai: Mengajak ke negeri yang damai (lihat al-Quran Surah Yunus ayat 10).
Sesungguhnya Allah SWT telah mensyariatkan perkara-perkara yang menjadikan umat ini bersatu dan saling mencintai. Antara sifat yang dilarang oleh Allah adalah prasangka buruk kepada mukmin.
Pada hakikat perbezaan aliran dalam politik tidak boleh dijadikan alasan untuk tidak memaafkan kesalahan orang lain terhadap dirinya. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Tidaklah Allah SWT menambahkan kepada seorang hamba dengan sebab maaf (yang dia berikan kepada orang yang menzalimi) kecuali kemuliaan."
Sebagai panduan kita pada hari ini, Allah SWT mengajar hamba-Nya yang beriman apabila berhadapan dengan golongan kuffar dalam suasana peperangan. Antaranya firman-Nya yang bermaksud: Kiranya mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka kamu juga hendaklah cenderung kepadanya (terima) cadangan itu. (Surah al-Anfal ayat 81).
Apatah lagi dalam keadaan perpecahan orang Melayu yang semakin kritikal, pelawaan untuk bersatu di antara sesama mereka seharusnya tidak menimbulkan pelbagai masalah malah menerimanya secara rasional.
Keikhlasan serta sikap keterbukaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam usaha merealisasikan "kerajaan perpaduan" perlulah dilihat secara positif khususnya oleh umat Islam pada masa kini.
Sehubungan itu, Allah SWT menegaskan dalam firman-Nya: Sifat yang baik tidak sama dengan sifat yang buruk. Balaslah perlakuan yang tidak baik yang datang dari pihak lawan dengan perlakuan yang lebih baik. Perlakuan seperti itu akan membuat orang yang bermusuhan denganmu seolah-olah menjadi seorang teman yang setia. Perlakuan seperti itu (membalas kejahatan dengan kebaikan) hanya diberikan kepada orang yang mempunyai sifat sabar dan orang yang mempunyai banyak kebaikan dan kesempurnaan jiwa. (Surah Fusilat ayat 34-35)

Buruk Sangatkah UMNO?

DAP dan PKR nampaknya seperti "cacing kepanasan" apabila mendengar cadangan Pas untuk berbaik-baik dengan UMNO dalam sebuah kerajaan perpaduan.
Sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam, Pas pastinya mempunyai alasan tersendiri dan perlu dihormati. Apatah lagi perjuangannya menjurus pada tuntutan dan aspirasi agama. Islam tidak pernah menolak kebaikan. Atas alasan itulah, Pas menghulur tangan dan membuka ruang perbincangan.
UMNO tidak boleh dianggap musuh sebab parti itu juga parti orang Islam, walaupun mungkin perjuangannya sedikit berbeza.
Jika Pas boleh berbincang dengan bukan Islam, kenapa tidak dengan orang Islam? Apakah UMNO itu lebih buruk daripada orang bukan Islam? Rasanya sudah tentu tidak. 'Seburuk-buruk' UMNO, ahli-ahlinya tetap saudara seislam dengan Pas. Jadi kita wajib membantu dan menolong saudara seagama jika mereka dalam kesusahan, tanpa mengira siapa dan apa latar belakangnya.
Bagaimanapun, setelah polemik ini berlanjutan, penulis agak terkejut dengan pandangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelmarin. Nik Abdul Aziz sama sekali menolak rundingan untuk kerajaan perpaduan. Hatta sehingga meminta Nasharudin Mat Isa melepaskan jawatan sebagai Timbalan Presiden Pas dan Ahli Parlimen Bachok.
Selama ini, semua sedia maklum ada kelembutan dan betapa berhemah Nik Abdul Aziz. Lontaran ideanya sentiasa mendapat perhatian dan dihormati. Tetapi tidak kali ini. Isu kerajaan perpaduan ditolak mentah-mentah dan begitu menguji kesabaran 'ketokguruannya'. Kenapa dan mengapa?
Mungkin Nik Abdul Aziz sahaja yang tahu. Mungkin Tuan Guru itu telah banyak menunaikan solat sunat meminta petunjuk daripada Allah SWT. Kerajaan perpaduan bukan suatu yang mustahil kerana ia pernah berlaku di negara lain. Ia pernah ditubuhkan di Kanada, Israel, Kenya, Lebanon, Luxembourg, Britain dan Amerika Syarikat.
Sebagai contoh di Britain, kerajaan perpaduan ditubuhkan semasa Perang Dunia Pertama dan Kedua. Kerajaan perpaduan di bawah pimpinan David Lloyd George pada Perang Dunia Pertama mampu bertahan sehingga 1922.
Begitu juga semasa Zaman Kemelesetan (Great Depression), sebuah kerajaan perpaduan ditubuhkan di Britain pada 1931 antara Parti Buruh, Konservatif dan Liberal. Ia bertahan sehingga 1945. Terdapat juga contoh-contoh terkini penubuhan kerajaan perpaduan. Misalnya di Afrika Selatan.
Kerajaan seperti ini diwujudkan antara 27 April 1994 hingga 3 Februari 1997 menerusi sebuah Perlembagaan sementara. Fasal 88 Perlembagaan itu mensyaratkan mana-mana parti politik yang mempunyai 20 atau lebih kerusi dalam Dewan Perhimpunan Nasional boleh menuntut satu atau lebih portfolio Kabinet dan boleh bergabung dalam kerajaan.
Maka kerajaan perpaduan boleh menjadi realiti dan tidak mustahil. Ia boleh dilakukan kerana manusia adalah makhluk yang rasional dan ada akal.
Persoalannya, dari manakah hendak bermula? Sudah tentu, ia perlu melalui proses pertama iaitu melalui rundingan, kerana inilah tuntutan Islam. Dalam surah Al-Imran ayat 159, Allah berfirman bermaksud: Bermesyuaratlah engkau dengan mereka dalam sesuatu urusan, maka apabila engkau telah mempunyai pendirian (yang tetap), bertawakallah kepada Allah SWT

Tuesday, June 16, 2009

Kerajaan Perpaduan : Niat Kerana Allah, Bukan Kerana Parti

Istilah ‘kerajaan-perpaduan’ menjadi panas. Saya sendiri tidak pasti apakah maksudnya. Mungkinkah ia seperti ‘Islam Hadhari’ yang muncul istilah dahulu, maksudnya dicari kemudian. Apapun bagi saya, sebagai seorang Muslim saya amat gembira dan bahagia jika sesama Muslim dapat berdamai dan mencari jalan ke arah kemaslahatan umat. Orang yang enggan melihat sesama Muslim cuba berdamai ialah manusia yang dirasuk syaitan samada disebabkan dendam kesumat yang tidak habis-habis atau fanatik yang bukan-bukan, atau buruk sangka yang tiada tepinya. Melainkan jika dia dapat buktikan bahawa perbalahan sesama Muslim itu lebih besar kebaikan daripada perdamaian. Allah menyebut: (maksudnya) “Sebenarnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Surah al-Hujurat: ayat 10).
Jika dahulu perkataan ‘asabiyyah’ itu diwakili oleh ketaksuban kepada kaum atau kabilah sehingga berlaku perbalahan dan peperangan, namun hari ini ‘asabiyyah’ itu menjelma dalam bentuk parti, kumpulan, jamaah dan berbagai lagi bentuk perkumpulan manusia. Lalu manusia berbalah kerananya. Nabi s.a.w bersabda: "…Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada ‘asabiyyah atau marah kerana ‘asabiyyah maka kematiannya adalah jahiliyyah”. (riwayat Muslim). Dalam riwayat yang lemah sanadnya (tetapi dikuatkan dengan hadis tadi) dikatakan Nabi bersabda: “Bukan di kalangan kami sesiapa yang menyeru kepada ‘asabiyyah, bukan sesiapa yang berperang atas ‘asabiyyah, dan bukan di kalangan kami sesiapa yang mati atas ‘asabiyyah” (Riwayat Abu Daud). Penyakit ‘asabiyyah bukan sahaja dalam bentuk perkauman arab, atau parsi atau melayu tetapi juga dalam parti-parti yang dibentuk dibawah nama ‘demokrasi’ hari ini. Segala prinsip dan kewarasan hilang hanya disebabkan ketaksuban kepada parti atau kebencian kepada ‘pesaing parti’. Sehingga yang kononnya berjuang untuk arab atau melayu boleh berpakat dengan bukan orang lain untuk menindas kaumnya. Demikian yang kononnya berjuang untuk Islam boleh berpakat dengan bukan Islam untuk bermusuhan dengan orang Islam. Bahkan ada yang kuat ‘kebangsaannya’ boleh menghina bangsanya hanya kerana berbeza parti. Bagitu yang kononnya kuat Islam bukan berkawan dengan sosialis, kapitalis, bahkan anti-negara Islam, tetapi berang jika diajak berdamai dengan orang Islam. Parti telah membentuk ‘asabiyyah yang menakutkan dan mencerai-beraikan orang Islam.
Saya amat berharap umat Islam dalam negara ini keluar dari kemaslahatan parti kepada kemaslahatan umat yang lebih besar daripada parti. Nabi s.a.w memuji al-Hasan bin ‘Ali disebabkan beliau telah melakukan tindakan yang menyebabkan perbalahan antara penyokong Mu‘awiyah r.a. dan penyokong ‘Ali r.a dapat diredakan. Abu Bakrah r.a menyebut: “Aku melihat Rasulullah s.a.w. di atas mimbar sementara al-Hasan bin ‘Ali berada di sebelahnya. Baginda menghadap ke arah orang ramai dan kemudian kepada al-Hasan, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku ini adalah seorang tuan, mudah-mudahan Allah mendamaikan dengannya dua puak yang besar daripada orang-orang Islam” (Riwayat al-Bukhari). Hadis ini menjadi kenyataan apabila Saiyyidina Hasan telah mengundur diri dari kerusi pemerintahan dan menyerahkannya kepada Mu‘awiyah selepas kewafatan ayahnya Saiyyidina ‘Ali. Mu‘awiyah dengan itu menguasai pemerintahan sepenuhnya dan tahun tersebut dinamakan oleh orang Islam iaitu “tahun perpaduan” (Ibn Kathir, Al-Ba‘ith al-Hathith, m.s. 177, Beirut: Dar al-Fikr). Di samping itu, Mu‘awiyah sendiri mempunyai hasrat perpaduan di mana beliau berkata:“Siapa yang akan menjamin orang Islam (sekiranya dibunuh ayah-ayah mereka)" (Riwayat al-Bukhari). Ibn Taimiyyah dalam ulasannya menyebut: “Nabi s.a.w. memuji al-Hasan kerana perdamaian yang dilakukannya dan menamakannya sebagai sayyid iaitu ‘tuan’. Ini kerana, Allah dan RasulNya suka dan redha terhadap apa yang al-Hasan lakukan. Andainya peperangan yang berlaku antara orang Islam itu diperintah oleh Allah dan RasulNya, tentu Rasulullah tidak akan memuji langkah perdamaian yang diambil oleh al-Hasan. Kalau peperangan itu suatu yang disuruh oleh Allah dan RasulNya, bererti al-Hasan telah meninggalkan suatu kewajipan atau perkara yang disukai Allah. Hadis ini adalah dalil yang jelas bahawa apa yang dibuat oleh al-Hasan adalah sesuatu yang terpuji.”(Ibn Taimiyyah, Al-Khilafah wa al-Mulk, m.s. 84).
Di Malaysia, kita tidak pun tidak mengharapkan parti-parti umat Islam ini menyerah kuasa antara satu sama lain. Ya, kita perlukan imbangan kuasa antara kerajaan dan pembangkang. Apa yang kita harapkan mereka dapat duduk semeja membincangkan tentang maslahat umat ini terutama yang membabit isu-isu khusus umat Islam. Apakah langsung tidak persamaan pendirian atau sikap antara UMNO dan Pas dalam isu-isu khusus? Kita boleh berbeza atau berselisih sekalipun, tetapi kena ada titik-titik persamaan mengenai kemaslahatan umat dan rakyat. Berfikirlah atas landasan nas dan ukhuwwah islamiyyah melebihi sikap ‘tegar’ yang hanya mengikat diri dengan belenggu kepartian semata-mata. Islam itu bukan sekadar politik, Islam juga akidah, akhlak, ekonomi, pendidikan dan berbagai lagi. Apakah dalam keadaan gentir ini tiada langsung nafas untuk memikirkan kemaslahatan umat dalam masalah-masalah khusus kita? Jika UMNO dan Pas boleh duduk bermesra dan bermanis dengan mereka yang berbeza prinsip dan perjuangan, apakah langsung tiada ruang sesama mereka. Marilah kita bimbangi apa yang Nabi s.a.w sebut: “Manusia yang paling Allah benci ialah yang berkeras kepala dalam perbalahan” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Sebab itu ketika saya bersembang panjang dengan Tun Abdullah di London dua minggu lepas, saya mencadangkan agar duduklah UMNO dan Pas berbincang dalam perkara-perkara di luar isu politik. Belajar faham memahami antara satu sama lain. Niatkan kerana Allah, bukan kerana parti.
Jika pun mereka pernah ada rekod buruk perdamaian sebelum ini, namun zaman dan masa sudah berbeza. Semalam sudah tidak sama dengan hari ini. Hari ini manusia lebih matang dan keadaan lebih getir. Jangan lagi berbincang bermula dari titik tolak kuasa, tetapi berbincang dari titik kemaslahatan umat. Jika benar ada keikhlasan, keberkatan akan datang. Jika niat ikhlas inginkan perdamaian, Allah akan membuka jalan kebaikan. Kalau kuffar musuh Islam ingin berdamai, kita disuruh sahut perdamaian. Inikan pula sesama Muslim. Firman Allah: (maksudnya) “Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui” (Surah al-Anfal, ayat 61).
Ada pihak yang berkata perdamaian antara parti-parti orang Islam akan memangsakan orang ‘lain’. Saya hairan, apakah setiap kali jika dua golongan berunding maka pihak lain pasti menjadi mangsa?. Saya fikir jika Muslim yang berbicara demikian, dia seorang yang sama dengan pengikut Abdullah bin Saba yang mencetuskan peperangan antara ‘Ali dan ‘Aishah. Mereka itu apabila melihat ‘Ali berdamai dengan ‘Aishah r.ha, mereka mencetuskan serangan mengejut sehingga mengheret umat Islam bertempur sesama sendiri. Menurut Ibn Kathir (meninggal 774H), apabila mendengar keputusan ‘Ali untuk berdamai, mereka yang terlibat dalam peristiwa pembunuhan ‘Uthman iaitu para pemberontak yang ada di dalam tentera ‘Ali menjadi takut. Mereka berbincang sesama sendiri dan berkata: “Mereka telah berdamai atas darah-darah kita”. Maksud mereka perdamaian ini bererti senjata akan dihalakan pula ke arah mereka.. mereka terus berbincang, akhirnya ‘Abd Allah bin Saba’ mencadangkan agar mereka memulakan api peperangan agar peperangan tetap tercetus..sebelum menjelangnya waktu subuh mereka telah melancarkan serangan terhadap tentera-tentera ‘Aisyah dan ‘Ali secara serentak menyebabkan kedua-dua pihak menyangka bahawa pihak yang satu lagi telah mungkir janji. Tentera ‘Aisyah telah menyatakan: “Tentera ‘Ali telah menyerang kita”. Sementera tentera ‘Ali pula menyatakan: “Tentera ‘Aisyah telah menyerang kita”. Maka tercetuslah peperangan Jamal yang menyebabkan kematian yang begitu banyak...(al-Bidayah wa al-Nihayah 7/249, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah). Kata Winston Churchill: “History repeats itself because no one was listening the first time.”