Tuesday, December 30, 2008

Tahun 2008 Yang Penuh Peristiwa

Apakah 2009 menjanjikan harapan dan musibah?
PADA Rabu ini, berakhirlah tahun 2008. Kita akan menjengah tahun 2009. Terlalu banyak drama dan peristiwa tahun yang bakal kita tinggalkan. Yang pasti negara ini menggelegak dengan pelbagai kisah, drama dan intrig politik. Sidang Parlimen tidak pernah membosankan. Ada sahaja peristiwa yang berlaku. Perbahasan sentiasa panas. Oleh sebab Barisan Nasional (BN) tidak menguasai dua pertiga kerusi, maka tidak mudah untuk kerajaan meluluskan apapun rang undang-undang yang dibawakannya. Demikianlah Malaysia yang selama ini dianggap negara yang 'stabil' dari segi politik berdepan dengan pelbagai peristiwa di luar jangkaan banyak pihak. Benar, kita tidak menghadapi krisis politik seteruk banyak negara lain. Memang benar kestabilan politik menjanjikan program pembangunan berjalan lancar selama lebih lima dekad kemerdekaan negara. Dan memang benar selama ini pimpinan BN menganggap penguasaan dua pertiga kerusi Parlimen satu 'tradisi', malah hak mereka. Memang benar juga Perikatan (gabungan sebelum BN) pernah dinafikan dua pertiga dalam pilihan raya 1969, tetapi selepas itu, Perikatan dan kemudian BN mendapat laluan mudah untuk mencapai kedudukan dua pertiga.
Laluan itu terlalu mudah hingga banyak pemimpinnya menjadi bongkak dan mengambil mudah sokongan rakyat. BN 'diajar' oleh pengundi pada tahun 2008. Masyarakat dan nilainya telah berubah. Pengundi baru muncul dan medium baru untuk berkomunikasi bertapak kukuh dalam masyarakat. Tetapi ada pemimpin BN masih dalam kapsul masa yang mengandaikan segala-galanya tidak mungkin berubah. Sepuluh tahun yang lalu - 1998 - negara ini digegarkan dengan peristiwa penyingkiran Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Tahun 2008, negara ini bergegar lagi dengan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12. BN tumbang di Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan. Anwar pula menang dalam pilihan raya kecil di Permatang Pauh dan kini kembali ke Parlimen. Lihat sahajalah siapa yang menjadi Ahli Parlimen baru kita. Siapa yang boleh menduga jurugambar video, blogger dan pengerusi penduduk setempat akan menduduki kerusi Parlimen? Gelombang penolakan rakyat begitu besar hinggakan siapa sahaja yang bertanding atas tiket parti lain akan menang.
Selepas itu, negara berada dalam keadaan suspens ekoran kenyataan Anwar bahawa Pakatan Rakyat (PR) mempunyai cukup Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan baru. Sasarannya ialah 16 September, tarikh keramat yang menandakan kelahiran Malaysia. Tarikh itu datang dan pergi, kerajaan baru tidak terbina. Ada yang percaya Anwar mempunyai bilangan lebih kurang 30 orang yang didakwanya 'melompat' pada PR, cuma kebanyakan mereka bukan beragama Islam yang tentu tidak akan diterima oleh sekutunya, Pas. Ada yang mengatakan Anwar tidak lebih sekadar mahu mencorakkan agenda media. Ada yang tidak berselindung menuduh Anwar berbohong dan kenyataan dikeluarkannya tidak lebih gimik politik. Kita akan mengakhiri tahun ini dengan episod sedih peristiwa tanah runtuh di Bukit Antarabangsa. Kira-kira 15 tahun yang lalu - 1993 - bangunan Highland Towers menjunam ke bumi. Kawasan sekitar yang tidak selamat menjadi lebih tidak selamat dengan pelbagai rupa pembangunan di sekitarnya. Kita tidak pernah mahu belajar dari sejarah. Kita memusnahkan alam sekitar tanpa perkiraan, kita mendirikan binaan di lereng bukit tanpa mengambil kira bahaya yang datang. Tahun 2008 juga menandakan kesediaan pemimpin tertinggi BN dan Umno mengambil tanggungjawab kekalahan pilihan raya 2008 dengan menerima pelan peralihan kuasa. Akibat desakan yang menuntut perubahan amat ketara pada peringkat akar umbi pelan itu, malah dipercepatkan pada Mac 2009. Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menganggap perlu menyelesaikan beberapa 'reformasi' sebelum melepaskan jawatan. Dua rang undang-undang penting membabitkan rasuah dan kehakiman dianggap sebagai legasi yang akan ditinggalkan bagi menandakan era pemerintahannya. Kurang daripada tiga bulan lagi kita akan mendapat Perdana Menteri baru - Datuk Seri Najib Razak - yang akan mencorakkan pula landskap politik negara ini. Selama lebih tiga dekad Najib telah membuktikan keupayaannya mengharung pelbagai cabaran dalam dunia politik. Beliau tentulah sudah cukup bersedia mengambil alih tanggungjawab yang besar itu. Di luar sana, 2008 nampaknya jauh lebih tidak selamat dari tahun sebelumnya. Pusat komersial dan lambang kebangkitan ekonomi India - Mumbai - bulan lalu menghadapi serangan ekstremis. Sekali lagi, bahaya perang di antara India dan Pakistan tergambar. India menuduh Pakistan membiayai dan melatih penyerang Mumbai. Thailand bergolak lagi. Memang tradisi menukar kerajaan sama kerapnya dengan amalan menukar kereta rakyatnya. Tetapi kali ini demonstrasi melumpuhkan Bangkok. Dan apabila mahkamah agung negara itu mengisytiharkan kerajaan yang ada tidak sah, Thailand berada di ambang anarki. Hari ini, Perdana Menteri baru memimpin negara itu.
Ekonomi dunia bergolak ekoran tumbangnya beberapa buah syarikat kewangan utama di negara maju, selain merudumnya pasaran saham di Amerika Syarikat (AS). Pada 6 dan 7 Oktober sahaja, kerugian pasaran saham dunia dianggarkan RM21.4 trilion. Kita tahu apa yang berlaku selepas itu. Pakej menyelamat (bailout) harus disediakan oleh kerajaan AS, Britain dan negara maju yang lain untuk membantu syarikat-syarikat yang bermasalah. Hal yang sama apabila berlaku di Asia sewaktu krisis ekonomi 1997/98 akan dianggap amalan tidak wajar dan membantu kroni. Cerita yang menyenangkan dalam kelam-kabut krisis dan berita buruk dunia ialah kemenangan Barack Obama dalam pilihan raya Presiden AS. Beliau akan menjadi presiden yang ke-44 bagi negara itu. Apa yang membezakan Obama dengan yang lain ialah beliau merupakan presiden pertama yang berkulit hitam bagi AS. Lima puluh tiga tahun lalu, seorang wanita berkulit hitam didakwa kerana enggan meninggalkan tempat duduknya dalam bas untuk diberikan pada seorang lelaki berkulit putih. Tindakan Rosa Parks itu membangkitkan gerakan hak asasi yang luar biasa. AS yang disegregasikan membuka pintu dan peluangnya pada mereka yang berkulit hitam dan kaum minoriti yang lain. Hari ini, kita melihat hasil dari gerakan itu. Obama diterima oleh semua pihak sebagai pemimpin negara paling berkuasa di dunia. Tiada siapa yang membayangkan hal itu akan berlaku 50 tahun yang lalu. Apakah Obama boleh mengubah AS atau AS akan mengubah Obama satu hal yang lain. Beliau menjanjikan perubahan. Malah 'Berubah' merupakan slogan kempen beliau. Dasar luar AS tidak berubah kerana berubahnya presiden. Besar kemungkinan AS akan memastikan kelangsungan dasar luar yang ada – pro-Israel, menjadi kaki buli, bertindak secara bersendirian, angkuh dan tidak menghormati orang lain. Dengan melantik Hillary Clinton sebagai Setiausaha Negara, Obama menghantar isyarat bahawa dasar AS terhadap negara Islam, Palestin dan Israel tidak akan banyak berubah. Clinton ialah Senator dari New York, satu-satunya kota di AS yang mengisytiharkan cuti Yahudi sebagai cuti rasmi. Sebelum kita membuat telahan lebih lanjut, elok juga diberi peluang pada Obama menunjukkan prestasinya. Oh ya, imej yang paling diingat pada tahun ini? Presiden Bush mengelak daripada lontaran kasut wartawan Iraq Muntazer al-Zaidi dalam satu sidang media di Baghdad. Moral ceritanya? Rakyat Iraq tidak memaafkan Bush kerana menakluk negara itu. Al-Zaidi pula menjadi hero baru di negara Arab. Kasut oh kasut!

Tuesday, December 23, 2008

Melentur Buluh Dari Rebungnya

Walau apa pun alasan pertubuhan tidak berdaftar, Jerit, berhubung penglibatan kanak-kanak dan remaja dalam kempen berbasikal ke Parlimen, Çhek' tetap berpegang kepada perumpamaan melentur buluh biar bermula dari rebungnya.
Bagi Chek, anak-anak perlu dididik mengikut tahap pembesaran mereka dan sama sekali tidak didedahkan dengan elemen ‘penentangan.’
Benar, kanak-kanak yang terlibat dalam kempen itu mungkin telah memperoleh kebenaran ibu bapa mereka, namun soalnya apakah mereka wajar dilepaskan berkempen bersama-sama orang dewasa dengan cara sedemikian rupa.
Ia bukan soal kerelaan semata-mata. Kita perlu sedar kanak-kanak perlu diletakkan dalam lingkungan dunia mereka dan tahap pemikiran mereka juga berbeza dengan tahap pemikiran orang dewasa.
Dalam banyak perkara kanak-kanak akan memilih untuk mengikut orang dewasa dan itulah yang nampak terjadi dalam proses kempen terbabit. Dalam keadaan sedemikian, apakah pilihan yang ada pada mereka?

Tolak ansur kerakyatan pengorbanan besar Melayu

‘SUDAH terang lagi bersuluh’ adalah peribahasa sesuai untuk mengungkapkan betapa jelasnya sejarah bangsa Melayu yang sudah melebihi 1,400 tahun, sezaman dengan ras yang tinggal di bahagian utara Asia. Bangsa Melayu di Nusantara boleh dikenali dari perspektif geografi, sejarah, politik dan budaya, bahasa dan agama (Islam). Banyak sumber sejarah yang boleh berdiri sebagai hujah. Sekadar contoh, sumber China menyebut sejak 645M sudah wujud sebuah kerajaan terletak di daerah kota Jambi yang dikenali Mo-lo-yue. Demikian juga catatan awal pelayar atau pengembara asing seperti I-Ching pernah mencatatkan bahawa di Tanah Melayu wujud beberapa kerajaan awal seperti Pan-pan, Chih-tu, Tun Sun dan Lang-ya hsia (Paul Wheatly, 1961). Kajian arkeologi pula membuktikan wujudnya kerajaan Kedah Tua di kawasan Lembah Bujang, kerajaan Gangga Negara, kerajaan Beruas dan beberapa kerajaan lain di Tanah Melayu. Karya Agung Melayu, kitab Sulatus Salatin oleh Tun Seri Lanang membuktikan kehebatan bangsa Melayu dalam membangun tamadunnya.
Pemikiran ketamadunan yang dibangunkan dalam kitab ini menggambarkan elemen pemikiran sains dan teknologi terserlah dalam tamadun Melayu. Ia dapat difahami daripada ungkapan ‘peti kaca berkunci berpesawat dari dalam’ (Sulatus Salatin, edisi pelajar, DBP 2000). Demikian juga istilah ‘utus’ yang diguna dalam kitab berkenaan, antara lain bermaksud mahir dalam pekerjaan tangan (Kamus Dewan, edisi keempat, 2007) Menurut Kamus Dewan, ‘pesawat’ bermaksud alat perkakas, jentera, mesin alat (tali, rantai, bahagian jentera) yang menggerakkan enjin. Oleh itu, ‘peti kaca berkunci berpesawat dari dalam’ menggambarkan ciptaan sebuah kapal yang boleh bergerak di dalam air seperti kapal selam pada zaman moden ini. Ini bermakna orang Melayu ketika itu sudah memiliki kepandaian mencipta berasaskan sains dan teknologi. Bangsa Melayu memiliki kebijaksanaan mentadbir kerajaan dan mengurus perdagangan. Sebagai bangsa yang dekat dengan dunia laut, mereka berinteraksi dengan pedagang dari pelbagai negara seperti Parsi, China, Arab dan juga Eropah. Interaksi global ini membentuk minda dan jiwa bangsa Melayu yang luas serta bersikap terbuka. Ketika itu, China masih mengamalkan dasar pintu tertutup yang keras terhadap dunia luar.
Bangsa Melayu sentiasa bertolak-ansur sehinggakan terlalu tingginya semangat toleransi ini menyebabkan banyak yang mereka miliki diberikan kepada orang lain. Begitu pemurahnya bangsa Melayu, namun bangsa bukan Melayu yang menerima kemurahan hati Melayu ini sering bersikap seperti ‘Belanda diberi tanah’ atau seperti kata peribahasa Melayu ‘diberi betis hendak peha’. Salah satu pengorbanan orang Melayu yang tidak ternilai ialah kesediaannya memberi kerakyatan kepada kaum bukan Melayu menjelang kemerdekaan negara. Ketika negara mencapai kemerdekaan, kira-kira 800,000 orang bukan Melayu diterima menjadi warga negara. Masyarakat Ceylon turut mendapat kelonggaran kerakyatan. Daripada jumlah bukan Melayu yang menerima taraf kerakyatan inilah akhirnya berkembang menerusi zuriat mereka yang kini menjadi generasi kedua dan ketiga di negara ini. Perlu diingat, pada awal 1940-an wujud perselisihan di kalangan pegawai British mengenai ‘common citizenship’ yang ingin diberikan kepada orang bukan Melayu. Setiausaha Negara bagi Wilayah Jajahan, OFG Stanley menerusi suratnya kepada Lord Louis Mountbatten bertarikh 13 Jun 1944 menganggap ‘common citizenship’ untuk kaum bukan Melayu sebagai tidak menghiraukan perasaan orang Melayu. Lord Louis Mountbatten adalah pegawai Britain yang menyokong konsep ‘common citenzenship’.
Stanley berpendapat jumlah kaum Cina dan India yang ada ketika itu memungkinkan mereka menuntut sesuatu yang istimewa untuk mereka dalam Perlembagaan yang akan dibentuk kelak. Pada awal kemasukan imigran Cina, mereka bertumpu di negeri-negeri Selat, namun dari 1989-1900 hampir 100,000 pendatang Cina masuk ke Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Selangor mengalami perubahan mendadak komposisi penduduk dan pada 1901, imigran dari China adalah 65 peratus daripada penduduk Selangor ketika itu (W.L.Blyte, 1953). Pada 1903, buruh Cina di lombong timah di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu berjumlah 186,377 orang. Angka ini meningkat kepada 231,368 pada 1907, sementara imigran China di sektor perladangan di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1909 berjumlah 5,348 orang. Kebanyakan imigrin China berasal dari Kwantung, Pulau Hainan, Fukien dan Kwangsi. Sementara itu, pada 1906 imigran India yang kebanyakannya berasal dari India Selatan (Negapatam dan Madras) mencatatkan kira-kira 95,000 orang masuk ke Tanah Melayu. Pada 1908, dicatatkan 38,801 lagi imigran India masuk ke Tanah Melayu (Chan Hon Chan, The Development of British Malaya 1896-1909, 1967). Apa yang disuarakan Stanley terbukti benar apabila orang Cina dan India menuntut hak kerakyatan berdasarkan prinsip jus soli, iaitu satu kaedah pemberian kerakyatan secara longgar kepada orang bukan Melayu tanpa perlu mengetahui bahasa Melayu atau bahasa Inggeris. Kaum Cina juga berhujah bahawa mereka adalah penyumbang utama cukai kepada kerajaan Inggeris di Tanah Melayu ketika itu. Prinsip jus soli akhirnya ditolak kerana orang Melayu melihat kerakyatan yang terlalu longgar ini adalah sesuatu yang tidak munasabah. Misalnya, Umno Johor melihat kerumitan timbul apabila Kerajaan China ketika itu menetapkan seorang Cina mestilah menjadi rakyat China walau di mana mereka dilahirkan. Akhirnya Perlembagaan yang dibentuk (1957) mengambil kira sejarah, warisan dan tradisi kaum Bumiputera. Justeru, beberapa keistimewaan diberikan kepada orang Melayu dimaktubkan dalam Perlembagaan. Keistimewaan itu dipersetujui bersama oleh kaum lain kerana ia tidak menjejaskan sama sekali taraf, hak dan aktiviti kaum bukan Melayu di negara ini. Kesimpulannya, orang bukan Melayu harus kembali menghayati gagasan ‘tolak ansur’ yang dibina oleh pemimpin pelbagai kaum terdahulu. Tolak ansur sebagai satu gagasan sosial adalah pendekatan ampuh (mujarab) dalam membina perpaduan dan keharmonian hidup masyarakat majmuk di negara ini. Sejak merdeka, kaum Melayu, Cina dan India berjaya membina semangat toleransi yang bermakna dalam pembinaan negara. Perjanjian murni (kontrak sosial) antara kaum Melayu, Cina dan India yang diterapkan dalam pembentukan Perlembagaan 1957 menggambarkan hakikat tolak ansur dan persefahaman antara kaum.

Monday, December 22, 2008

HIV 'buta' Kaum,Agama

BARU-baru ini akhbar tempatan melaporkan cadangan sama ada ujian HIV sebagai pra-syarat perkahwinan patut diperluaskan kepada semua kaum, tidak kira bangsa atau agama.
Respons kerajaan berhubung cadangan itu ialah satu kajian mendalam perlu dibuat terlebih dahulu sebelum saringan HIV dijadikan mandatori kepada kaum-kaum lain sebagai syarat perkahwinan.
Jika sebarang kajian hendak dibuat maka beberapa aspek mesti dipertimbangkan termasuk dari segi falsafah, tanggungjawab moral dan sosial pemerintah juga dari segi keagamaan.
Kita bertolak dari perhitungan falsafah moral. Setiap agama, tidak kira Islam, Buddha, Hindu atau Kristian mengajar perkara yang baik, iaitu dari segi etika sosial dan panduan hidup demi kesejahteraan umat manusia yang hidup sebagai ahli sesebuah masyarakat.
Mana-mana perkara yang boleh memudaratkan masyarakat, sama ada secara individu atau berkelompok memang menjadi perhatian kepada setiap agama. Maka dikeluarkan oleh agama-agama tersebut pelbagai larangan dan hukum bagi menjamin kesejahteraan sosial dan masyarakat.
Mana-mana perkara yang tidak dapat ditangani oleh agama, maka menjadi tanggungjawab pihak pemerintah untuk menyelesaikannya dengan menggunakan kuasa atau autoriti sivilnya.
Perkara kedua yang harus difikirkan bukan bersifat falsafah, tetapi bersifat pathology (sebab musabab dan perkembangan penyakit). Hakikatnya ialah jangkitan HIV tidak ada kena mengena dengan sebarang batasan agama. Virus tersebut boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja, biarpun di kalangan mereka yang tidak menganut apa-apa agama.
Berasaskan kepada dua hakikat itu - yang satu falsafah, yang satu lagi pathology - kita terpaksa berdepan dengan dilema bagaimana membendung wabak penyakit yang semakin menular dengan begitu pantas di kalangan penduduk sebuah masyarakat berbilang kaum.
Persoalannya ialah apakah senjata yang boleh digunakan untuk membendung merebaknya HIV. Kita semua tahu bahawa salah satu daripada cara HIV merebak ialah melalui hubungan seks. Jika kita berkahwin dengan pasangan yang dijangkiti virus berkenaan, maka peluang untuk kita dijangkiti penyakit itu adalah sangat tinggi, begitu juga dengan anak-anak dan zuriat kita seterusnya.
Justeru adalah menjadi tanggungjawab moral untuk bakal pengantin yang menjadi pembawa HIV memberitahu pasangannya akan risiko tersebut, tetapi malangnya siapakah yang sanggup membuka pekung di dada sendiri? Kadang-kadang seseorang itu tidak pun tahu akan status kesihatannya sendiri, sama ada dia dijangkiti oleh HIV atau sebaliknya.
Soalnya, pasangan manakah, keluarga manakah dan ibubapa manakah yang sanggup menerima seorang teman hidup, seorang ahli keluarga baru dan seorang menantu yang menjadi pembawa HIV? Sebab itulah orang tidak akan mengaku dengan mudah bahawa dia adalah pembawa HIV.
Risiko
Dari satu sudut yang lain pula, persoalannya bersifat agak akademik. Jika pasangan tersebut mahu berkahwin juga, biarpun salah seorang daripadanya dijangkiti HIV, semata-mata kerana dilamun asmara dan cinta yang sangat mendalam, maka tidak ada undang-undang dan hukum agama yang boleh menghalang mereka daripada berbuat demikian. Terpulanglah kepada mereka untuk menanggung risikonya, termasuk menjadikan anak-anak yang akan dilahirkan kelak mangsa HIV seperti mereka.
Namun demikian, golongan alim ulama dan pentadbir agama Islam telah mengambil langkah yang terkehadapan dengan mengenakan syarat tambahan supaya bakal pengantin menjalani ujian HIV terlebih dahulu.
Manfaatnya agak jelas dan cepat. Biasanya jika salah seorang daripada pasangan itu terbukti pembawa HIV, maka perancangan perkahwinan itu mungkin 'ditangguhkan' oleh sebab-sebab 'teknikal' biarpun sebab sebenar tidak didedahkan demi menjaga maruah.
Penangguhan tersebut adalah lebih baik daripada kita menanggung akibat HIV kemudian hari kelak. Baik kita tahu terlebih dahulu bahawa bakal menantu kesayangan kita adalah pembawa HIV. Baik kita sesal dahulu daripada sesal kemudian.
Langkah proaktif pihak pentadbir agama Islam itu merupakan satu cara untuk menangani merebaknya wabak tersebut melalui penggunaan kuasa agama (religious authority). Kuasa ini wujud kerana pentadbiran Islam mempunyai sistem kuasa yang berpusat (centralised religious authority), iaitu di peringkat setiap negeri. Ini bermakna bahawa jika kita ingin mendirikan rumah tangga yang sah di sisi undang-undang Islam, maka keabsahannya itu datangnya daripada pihak pentadbir agama.
Di kalangan agama-agama lain, tidak wujud sebarang bentuk autoriti berpusat yang membawa implikasi undang- undang. Perkahwinan dianggap sah dari segi undang-undang sivil hanya melalui pendaftaran dengan sebuah badan yang bukan bersifat agama biarpun upacara perkahwinan itu dilakukan mengikut adat dan budaya golongan etnik berkenaan, atau mengikut kehendak agama tersebut.
Pendaftar perkahwinan sudah tentulah tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengenakan syarat tambahan atau syarat khas bagi pasangan bukan Islam yang ingin mendaftarkan perkahwinan mereka, seperti yang dikenakan oleh pentadbir agama Islam terhadap orang Islam.
Lagipun pendaftaran biasanya dibuat setelah pasangan itu menjalani adat perkahwinan masing-masing, sedangkan di kalangan orang Islam, syarat tambahan itu mestilah dipenuhi terlebih dahulu sebelum perkahwinan dapat dijalankan.
Perbezaan dari segi perolehan keabsahan perkahwinan di antara orang Islam dan orang bukan Islam menjadikan isu mewajibkan saringan HIV tidak dapat dilaksanakan mengikut acuan dan tatacara yang diamalkan oleh pihak berkuasa pentadbiran Islam.
Namun demikian, cadangan saringan HIV untuk mana-mana bakal pengantin mempunyai konsep dan nilai murni yang universal di kalangan semua kaum dan agama, bukan sahaja di kalangan orang Islam.
Oleh kerana HIV tidak mengenal batasan kaum dan agama, maka pelaksanaan langkah kawalan terhadapnya tidak semestinya mengambil kira pendekatan agama seperti yang berlaku di kalangan orang Islam, tetapi pendekatan yang bersifat sosial dan budaya, juga dengan menggunakan civil authority.
Pembawa penyakit HIV dilaporkan berjumlah 80,900 bagi tahun lepas. Angka ini tidak termasuk kes-kes yang tidak dilaporkan dan kes-kes baru untuk tahun ini.
Oleh kerana jangkitan HIV merebak dengan cepatnya di kalangan penduduk wanita Malaysia - pertambahan dari 1.1 peratus pada tahun 1990, kepada 5.02 peratus pada tahun 1997 dan kepada 16.3 peratus pada tahun lepas - maka langkah-langkah membendungnya hendaklah diberikan keutamaan sama seperti menangani darurat kebangsaan atau krisis negara.
Langkah pencegahan yang terbaik bukan terletak pada saringan, kerana bila HIV dikesan pada tahap ini, keadaan sudah terlambat. Pada tahap ini gesaan supaya membatalkan atau menangguhkan sahaja perkahwinan adalah langkah yang agak pathetic, kerana nasi sudah menjadi bubur.
Kesedaran melalui pendidikan umum di peringkat masyarakat adalah di antara jalan yang terbaik bagi membendung dan mencegah jangkitan HIV. Tetapi senjata paling berkesan terletak pada diri seseorang.
Kita tanya pada diri kita sendiri apakah pendirian kita tentang HIV. Jika kita seorang bapa, mahukan kita mempunyai seorang menantu yang menjadi pembawa HIV? Kalau kita seorang perempuan, mahukah kita bersuamikan seorang pengidap HIV? Kalau kita seorang abang, relakah kita membenarkan adik perempuan sendiri dijangkiti HIV daripada adik ipar kita?
Dalam peristilahan antropologi sosial, inilah perisai perlindungan sosial yang sangat berkesan kerana ia melibatkan integriti sosial sesuatu masyarakat dari segi budaya, nilai-nilai murni, serta moraliti, kerana mereka yang tergolong dalam kategori pembawa HIV dianggap sebagai social outcast atau sampah masyarakat.
Akhir kata, jika kita terus berlengah dengan pelbagai alasan untuk memikirkan semasak-masak sama ada hendak menjadikan saringan HIV sesuatu yang mandatori, dengan mengambil kira faktor agama dan kaum, mungkin kita sudah tidak begitu rasional lagi kerana wabak HIV bukan mengenali batasan kaum dan agama.
Sesungguhnya langkah terkehadapan yang diambil oleh pihak pentadbir Islam itu harus diteladani kerana kesan dan manfaatnya terbukti bersifat universal dan boleh digunapakai untuk semua kaum di Malaysia.

Gejala RASUAH Sukar Dibendung Sejak Zaman Rasulullah Lagi

RANG Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang diluluskan baru-baru ini selepas dibentangkan di Parlimen menunjukkan kesungguhan kerajaan memerangi amalan rasuah. Biarpun ramai yang menyedari rasuah adalah haram, dibenci Allah dan menyalahi undang-undang, gejala ini terus berkembang di kalangan masyarakat sama ada pada peringkat atasan atau bawahan. Dua kemungkinan yang membawa kepada hebatnya gejala ini sehingga berleluasa di kalangan masyarakat kerana ketidakfahaman terhadap istilah rasuah serta kuatnya perasaan tamak haloba untuk memiliki kekayaan atau kemewahan dengan cepat. Perbuatan tumbuk rusuk ini bukan perkara baru dalam kehidupan masyarakat moden. Justeru, ia dianggap perbuatan lazim dalam kehidupan seharian. Gejala rasuah kini antara penyakit sosial yang sukar untuk diubati. Rasuah menjadi ancaman cukup berbahaya dalam perkembangan ekonomi sesebuah negara. Perbuatan rasuah akan mengancam seluruh sistem pembangunan negara dan bakal melahirkan masyarakat yang kucar-kacir dan menyumbang kepada keruntuhan bangsa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang kami tunjukkan (lantik) untuk memegang sesuatu jawatan yang kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada itu, maka sebenarnya dia sudah mencuri.” Rasulullah SAW mengutuk sesiapa yang memperoleh harta dan wang melalui rasuah. Khalifah Umar al-Khattab pada masa pemerintahannya juga sentiasa melafazkan perkataan amat berat dan kasar kepada pengamal rasuah. Kekeliruan dan kejahilan mengenai rasuah mungkin berpunca daripada pemahaman cetek terhadap kalimah rasuah yang disangka hanya membabitkan wang semata-mata. Rasuah bukan saja membabitkan wang, tetapi turut merangkumi aspek kehidupan lain seperti tidak menjalankan tanggungjawab mengikut tempoh masa ditetapkan atau berlaku tidak jujur dan menyeleweng dalam tindakan serta perbuatan. Pengamal rasuah biasanya lebih kuat menjalankan tugasnya apabila ditawarkan dengan sogokan. Manusia yang mengamal rasuah ini jarang memikirkan segala tindak-tanduk mereka adalah penganiayaan yang sengaja dirancang untuk menindas orang lain. Mereka yang tidak berhak diberikan hak dengan cara batil, sementara yang berhak pasti akan kehilangan peluang walaupun mereka sebenarnya mempunyai kemampuan dan kudrat untuk melaksanakan amanah. Justeru, pengamal rasuah yang hidup saling menindas semakin alpa dengan tuntutan agama.
Kemewahan dan kekayaan segera yang diperoleh menutup pintu hati daripada mengingati Allah, bahkan seperti sengaja menimbun dosa dan noda akibat perbuatan sendiri.
Rasulullah SAW sering berpesan kepada pegawai dan pentadbir pada zaman Baginda supaya tidak menunjukkan kemewahan hidup yang mereka ada terutama ketika berurusan dengan orang ramai. Baginda SAW berkata kepada Muaz Jabal yang dilantik menjadi Duta ke Yaman: “Wahai Muaz, jauhilah hidup kamu daripada keadaan serba mewah kerana hamba Allah yang setia bukanlah begitu sifatnya.” Muaz mematuhi pesanan Rasulullah SAW kerana tidak ingin menderhaka Allah dan tidak mahu tergolong dalam umat Muhamad sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Nanti akan ada di kalangan umatku yang memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam serta memakai beraneka jenis pakaian dan mereka bijak pula bercakap, berbual dan membelitkan lidah. Mereka itulah penjahat dalam umatku.” (Hadis riwayat al-Tabrani). Seorang pegawai Rasulullah SAW di bahagian perbendaharaan negara yang menjalankan tugasnya sebagai pemungut cukai bertemu Baginda untuk menyerahkan hasil kutipan cukai. Kata pegawai itu: “Ya Rasulullah, inilah hasil negara dan ini pula hadiah untuk saya.” Mendengar hal itu, air muka Rasulullah SAW segera berubah, lalu Baginda berkata: “Aku sudah mengangkat seorang pegawai untuk satu pekerjaan. Sesudah dia bertugas, ada pula hak untuk negara dan hak untuk dirinya. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya dia akan mendapat hadiahkah sekiranya dia jujur? Janganlah kamu mengambil sesuatu yang bukan hak kamu supaya kamu tidak diseksa kerana wang atau pemberian itu di hari akhirat kelak.”
Gejala rasuah terlalu banyak mencetuskan pelbagai kes jenayah seperti peras ugut, membunuh, dendam dan pelbagai gejala lain yang boleh memusnahkan kehidupan manusia secara keseluruhan.
Pengamal rasuah tidak akan mampu menggunakan akal dengan rasional kerana jiwa dan hati mereka sudah jauh terpesong daripada landasan syariat sebenarnya. Mereka sudah hilang rasa kasihan dan kemanusiaan sebaliknya akan mudah berkelakuan ganas dan zalim apabila tidak memperoleh apa yang mereka idamkan. Sudah tidak ada lagi rasa keinsafan dan kesedaran bahawa diri mereka adalah milik Allah dan bakal kembali kepada Allah. Mereka juga lupa bahawa segala amalan dan tindak tanduk seharian bakal dihisab oleh Allah pada hari akhirat kelak. Larangan terhadap perbuatan rasuah dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Allah melaknat orang yang menyogok dan minta disogok.” (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Hibban) Laknat Allah bukan saja kepada pemberi, malah penerima rasuah kerana jelas kedua-duanya melakukan kezaliman. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil. Lalu kamu membawa urusan harta itu kepada hakim dengan maksud supaya kamu dapat memakan harta setengah kamu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 188) Sebagai insan mukmin yang cintakan kemurnian hidup di atas landasan syariat Islam, maka marilah kita berganding bahu membendung gejala rasuah daripada terus merebak di kalangan umat Islam kerana kita bertanggungjawab membasmi penyakit sosial yang amat dikutuk Allah ini.

Lupa Pengorbanan Melayu Jejas Hubungan Kaum


PERKAUMAN kini menjadi perkataan yang semakin tabu di kalangan rakyat Malaysia pelbagai bangsa, budaya dan agama. Kedudukan sebagai negara pelbagai kaum yang hidup dalam suasana aman, damai dan makmur, adalah faktor yang menjadikan Malaysia begitu unik dan menjadi sebutan dunia. Tetapi ia kini bagaikan ‘duri dalam daging’. Tragedi 13 Mei 1969, akan terus terpahat di minda, betapa gara-gara pertelingkahan antara kaum bukan saja menjadikan negara menjadi huru-hara dan diisytihar darurat, bahkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, terpaksa melakukan pengorbanan terbesar - melepaskan jawatan demi kesejahteraan rakyat tercinta.
Hikmahnya ialah penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menstruktur semula semua masyarakat. Mengimbas kembali sejarah, tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, yang turut terbabit dalam penggubalan DEB berkata, kedua-dua matlamat dasar ini sebenarnya tidak pernah membabitkan isu perkauman, sebaliknya bertujuan untuk memberi agihan kekayaan sama rata kepada semua kaum di negara ini. “Ketika penggubalan dasar ini semua pihak termasuk pembangkang, malahan Lim Kit Siang turut terbabit.
“Hakikat yang perlu diketahui semua pihak ialah matlamat untuk membasmi kemiskinan dan menstruktur semula masyarakat membabitkan semua kaum, bukan sekadar membantu kaum Melayu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Isu DEB memang selalu menjadi perdebatan hangat terutama di kalangan bangsa bukan Melayu yang berasa dasar itu hanya memihak dan memberi kelebihan kepada Bumiputera, berikutan sasaran memiliki 30 peratus daripada kekayaan ekonomi negara. Bangsa lain selalu gagal atau enggan mengkaji fakta bahawa kewujudan DEB adalah kesan daripada tragedi 13 Mei. Tujuan utamanya ialah untuk mengurangkan jurang kekayaan antara bangsa Cina yang menguasai bidang ekonomi negara sehingga hari ini dengan bangsa Melayu, anak pribumi yang sebelum 1970-an hidup dalam suasana bagai ‘merempat di bumi sendiri’. Selepas tiga dekad DEB dilaksanakan, rakyat pelbagai kaum kembali bersatu dan hidup dalam suasana aman, damai dan makmur, manakala Malaysia sendiri membangun dan berkembang sehingga menjadi sebuah negara yang disegani masyarakat antarabangsa.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) menamatkan dasar itu pada 1990 dan menggantikannya dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). DEB berjaya mengurangkan jurang ekonomi yang wujud terutama antara Melayu dan Cina, tetapi masih belum mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan. Bagaimanapun, perasaan prejudis dan iri hati melihat bangsa Melayu semakin mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain, menyebabkan ada pihak mengapi-apikan kemarahan bangsa lain sehingga wujud frasa ‘rakyat kelas kedua’. “Apabila melihat bangsa Melayu semakin maju dan boleh berjaya terutama dalam bidang perdagangan, wujud golongan tidak puas hati yang kemudian membakar kemarahan bangsa lain dengan melonjakkan isu perkauman. “Apa yang mereka lupa ialah bangsa Cina masih menguasai lebih 70 peratus ekonomi negara ini, malahan projek yang diperoleh usahawan Melayu akhirnya lebih banyak diagihkan kepada bangsa lain,” kata bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Aziz Shamsuddin. Hari ini, ramai orang lupa sejarah, manakala tidak ramai generasi baru mengetahui bahawa jurang kekayaan yang amat luas antara Melayu dan Cina, adalah punca utama berlaku tragedi 13 Mei 1969. Justeru, krisis hubungan antara kaum yang berlaku hari ini, sehingga ada yang mencadangkan diwujudkan Akta Hubungan Antara Kaum, mencetus keresahan dan kebimbangan di jiwa rakyat, memberi kesan serius kepada pelabur asing serta menjejaskan imej Malaysia di gelanggang antarabangsa. Tindakan mempolitikkan isu perkauman hanya memburukkan keadaan. Perlu diingatkan semula bahawa keindahan dan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang menuju status negara maju selama ini adalah hasil daripada semangat setia kawan dan kerjasama antara antara kaum. Sikap telus dan keterbukaan yang menjadi amalan kerajaan BN sejak akhir-akhir, patut dijadikan pentas untuk meleraikan isu perkauman dengan lebih waras dan bijak, bukannya mengambil kesempatan untuk menyemarakkan perasaan perkauman sesama rakyat. “Suka atau tidak, Melayu memang bangsa pribumi. Orang Melayu sudah menerima hakikat bahawa mereka perlu banyak beralah, mengagihkan kekayaan dan kuasa kepada bangsa lain. “Kerana itu, tidak ada sebab bangsa lain untuk berasa mereka dilayan bagai warga kelas kedua, kerana tidak pernah ada sekatan dalam memiliki kekayaan di negara ini. Malah, dalam senarai 10 orang terkaya di Malaysia sekarang ini hanya satu saja nama Melayu,” kata seorang tokoh politik lain. Katanya, hak dan layanan istimewa bangsa Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kini hanya sekadar di atas kertas dan ia langsung tidak menyekat mana-mana bangsa lain untuk mengaut kekayaan yang ada di bumi bertuah ini. Justeru, tindakan kumpulan pendesak supaya kerajaan menghapuskan hak keistimewaan bangsa Melayu dan memberi hak sama rata kepada bangsa lain hanya akan mencetuskan kemarahan orang Melayu dan jika tidak dibendung dengan sebaik mungkin, ia mungkin boleh menjadi barah. Setiap kaum mempunyai isu dan kemelutnya sendiri. Bagaimanapun, setiap kaum itu mempunyai pemimpin dan pentas tersendiri untuk meleraikan sebarang masalah. Bagi kerajaan BN, kewujudan parti komponen yang mewakili semua kaum di negara ini adalah resipi terbaik untuk terus menjaga hubungan antara kaum selama ini. Kejayaan semakin terserlah selepas tragedi 13 Mei.

Sunday, December 21, 2008

Siapa Peduli Akhbar Melayu??

Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) Mac lalu, kedudukan politik Melayu kelihatan sedikit tergugat. Berikutan dengan itu beberapa isu yang melibatkan soal kepentingan orang Melayu seperti kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi turut dipersoalkan. Kelantangan pihak tertentu mempersoalkan banyak perkara yang berkaitan dengan orang Melayu semakin bertambah selepas PRU 12 dianggap sebagai indikator kelemahan politik Melayu.Kita boleh memberikan apa saja alasan untuk menafikan hujah di atas. Tetapi pada masa yang sama kita terpaksa menerima hakikat bahawa politik Melayu adalah teras kepada sosio-politik negara ini. Bergolaknya politik Melayu, kesannya akan kelihatan kepada banyak perkara lain yang mempunyai kaitan secara langsung dengan politik dan kedudukan orang Melayu.Bahasa rasmi negara ini dipelekehkan oleh pihak tertentu bukanlah perkara baru. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi yang sewajarnya digunakan oleh seluruh rakyat. Tetapi disebabkan ketidakupayaan politik Melayu menjadi teras sosio-politik negara ini, bahasa Melayu dilihat hanya bahasa orang Melayu. Dalam kalangan orang Melayu pula dipecahkan lagi apabila ada sesetengah Melayu elit yang mendakwa kedudukan mereka tidak sesuai dengan bahasa Melayu.Media Melayu menjadi indikator paling jelas untuk melihat situasi sebenar kedudukan bahasa dan politik Melayu. Media Melayu khususnya akhbar mendepani masalah yang sangat serius berbanding akhbar bahasa Cina dan Inggeris. Pendapatan iklan oleh akhbar Melayu secara kolektifnya jauh lebih kecil daripada kolektif akhbar berbahasa Cina. Masalah yang dihadapi oleh akhbar-akhbar Melayu sewajarnya tidak berlaku apabila bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi yang memerlukan semua rakyat, tidak kira apa bahasa ibunda mereka akan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan. Tetapi malangnya teori ini tidak berlaku sama sekali.Baiklah, cuba kita lihat dengan sewaras yang mungkin beberapa perkara yang sepatutnya meletakkan akhbar bahasa Melayu di barisan depan di segi pengaruh.Bahasa Melayu telah diberi kedudukan penting dalam Perlembagaan sejak setengah abad lalu sebagai bahasa rasmi. Dengan kata lain tidak ada seorang pun yang mengaku rakyat negara ini tidak faham bahasa Melayu, selepas setengah abad diangkat sebagai bahasa rasmi. Secara teorinya kaum pendatang generasi pertama sudah tiada lagi. Generasi selepasnya dilahirkan di negara ini dipayung oleh Perlembagaan sebagai rakyat negara ini. Dan dalam Perlembagaan menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.Kita lihat pula Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sudah lebih 30 tahun dilaksanakan. Antara yang mendukung Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah pengantar dalam bahasa Melayu dan subjek bahasa Melayu menjadi teras dalam peperiksaan. Ini juga menyokong hujah kita bahawa bahasa Melayu mesti difahami oleh semua peringkat dan kaum. Hujah ini ditambah pula dengan satu bancian yang menunjukkan negara ini dihuni oleh 13 juta orang Melayu.DihujahFaktor-faktor yang dihujah di atas tadi menunjukkan tidak ada sebab akhbar Melayu tidak mampu menyaingi akhbar bahasa Cina misalnya untuk mencatat market share yang lebih besar dalam pendapatan iklan. Jualan akhbar Melayu secara kolektifnya (Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Harian Metro dan Kosmo) mencatatkan sekitar 1.4 juta naskhah sehari atau purata pembaca sebanyak 8.5 juta sehari. Sementara akhbar berbahasa Cina yang terdiri daripada Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh, China Press dan Guang Ming Daily mencatatkan purata edaran lebih kurang 900,000 naskhah sehari atau 2.5 juta pembaca. Tetapi adakah kalangan politik Melayu sedar bahawa kolektif akhbar Melayu hanya mencatatkan market share pendapatan iklan hanya lebih kurang 13 peratus daripada peruntukkan lebih RM2.3 bilion untuk media cetak?Pertanyaan saya, selebihnya ke akhbar mana? Di mana kekuatan politik Melayu apabila akhbar Melayu dianggap kelas tiga di negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi? Media bahasa Melayu khususnya akhbar memikul tanggungjawab sosial yang sangat besar, bukan saja kepada orang Melayu malah semua kaum supaya menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Tetapi tugas besar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya tiada kesedaran daripada kalangan Melayu dan bukan Melayu untuk melihat bahasa Melayu melampaui bahasa semata-mata.Untuk pengetahuan, bahasa Cina bukanlah bahasa rasmi atau bahasa kedua. Bahasa Cina tidak diperjuangkan kedudukannya dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Lalu, di mana peranan 60 peratus orang Melayu yang bertutur dan membaca dalam bahasa Melayu dalam konteks pengaruh akhbar Melayu? Pengedaran kolektif akhbar bahasa Cina jauh lebih kecil berbanding kolektif akhbar Melayu, begitu juga jumlah pembacanya. Persoalannya kenapa akhbar Melayu belum mampu menyakinkan pengiklan tentang pengaruhnya yang besar apabila hanya mencatatkan market share 13 peratus daripada peruntukkan kepada media cetak?Di mana peranan kalangan politik Melayu untuk melihat permasalahan akhbar-akhbar Melayu secara mikro khususnya daripada perspektif sosio-politik? Kurangnya pengaruh akhbar Melayu kepada pengiklan memperlihatkan kurangnya pengaruh politik Melayu di negara ini. Akhbar dalam konteks perbincangan sosio-politik negara ini bukan lagi sama seperti produk sabun basuh atau pencuci lantai. Maka apabila akhbar Melayu tidak mampu memperlihatkan pengaruh menjadi agenda setter dalam ekonomi misalnya, kegagalan ini bukanlah ditanggung oleh syarikat yang menerbitkan akhbar berkenaan semata-mata. Ini sebahagian daripada kegagalan kuasa politik Melayu untuk meletakkan sesuatu yang ada kaitan langsung dengan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.Peliknya sesetengah pihak pula mudah percaya dengan dakwaan para pengiklan bahawa akhbar-akhbar Melayu hanya dibaca oleh orang Melayu, terlalu Malay centric dan lebih malang lagi akhbar Melayu majoriti pembacanya orang kampung, atau dalam kata lain sifatnya kekampungan. Maka hujah mereka, akhbar Melayu tidak sesuai dengan urbanisasi yang menjadi sasaran pengiklan.StatistikTetapi persepsi itu tidak benar sama sekali kerana statistik menunjukkan tidak sampai 30 peratus edaran akhbar-akhbar Melayu di kawasan luar bandar. Ini bermakna sekurang-kurang 70 peratus pengedaran akhbar Melayu di bandar terutama di Lembah Kelang. Urbanisasi yang bagaimana lagi dimahukan oleh pengiklan?Penguasaan akhbar Melayu di kawasan bandar tidak boleh dinafikan lagi. Malah kalangan pembaca akhbar Melayu mempunyai profil sebagai kuasa pembeli yang tinggi. Tetapi pengiklan seolah-olah tidak yakin akhbar Melayu boleh menyampaikan mesej kepada khalayak tentang produk mereka. Sebenarnya ini bukan perspektif perniagaan tetapi politik. Kalau daripada perspektif perniagaan, para pengiklan pasti memilih akhbar-akhbar Melayu sebagai keutamaan mereka kerana akhbar-akhbar Melayu memenuhi apa yang diperlukan pengiklan. Untuk menyebarluaskan produk yang hendak diiklan, pengiklan akan memilih media yang mempunyai edaran yang besar, pembaca yang banyak dan profil pembaca yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Sayugia diingatkan kolektif akhbar-akhbar Melayu mempunyai semua perkara yang diperlukan oleh pengiklan. Tetapi pengiklan tetap juga memilih akhbar berbahasa Cina dan selebihnya Inggeris. Kenapa?Maka jelaslah nasib akhbar-akhbar Melayu bukan saja tanggungjawab penerbitnya. Dilema akhbar Melayu mencerminkan keadaan sosio politik yang pengaruh Melayunya tidak menonjol. Malah seolah-olah kesulitan yang diredah oleh akhbar-akhbar Melayu tidak dipedulikan oleh sesiapa. Kita tidak mahu tragedi "penutupan" Utusan Melayu, satu-satunya akhbar aksara Jawi enam tahun lalu berlaku kepada akhbar Melayu aksara Rumi.Sekiranya setiap pejabat kerajaan dan sekolah di seluruh negara melanggan dua naskhah akhbar Utusan Melayu Jawi setiap hari, jangka hayat Utusan Melayu pasti lebih panjang. Tetapi siapa peduli Utusan Melayu? Siapa tokoh politik Melayu yang berfikir tentang satu-satunya akhbar aksara Jawi itu di negara ini akhirnya terpaksa mengalah kerana tuntutan perniagaan?Akhbar Melayu pula yang selalu dilihat dengan penuh prasangka apabila memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kedudukan orang Melayu. Padahal perjuangan itu hanya menegakkan hak dalam Perlembagaan tanpa mengambil hak kaum lain. Tetapi ada pihak dengan mudah melabelkan akhbar Melayu sebagai perkauman apabila akhbar Melayu memperjuangkan Melayu yang tertindas. Tetapi akhbar Melayu tidak pernah mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun menerusi DEB orang bukan Melayu memperoleh ekuiti lebih tiga kali ganda daripada orang Melayu.Kalangan ahli politik bukan Melayu tidak mempersoalkan akhbar bukan bahasa Melayu yang menyemarakkan sentimen kaum misalnya apabila RTM memendekkan siaran Berita Mandarin baru-baru ini. Dalam perkara ini orang Melayu juga mesti berubah sikap, jumlah penerbitan akhbar bahasa Cina jauh lebih besar dari akhbar Melayu dan mencatatkan pengedaran yang juga besar. Kita sendiri boleh bayangkan sikap sesetengah orang Melayu hingga satu akhbar aksara Jawi pun tidak mampu dipertahankan. Ketika Utusan Melayu ditutup, terbit sebuah akhbar bahasa Cina yang baru, Oriental Daily. Orang Melayu perlu menyalahkan diri sendiri bukan syarikat yang menerbitkan Utusan Melayu. Politik Melayu mesti meletakkan dirinya sebagai agenda setter, bukan saja menyelesaikan kemelut akhbar Melayu tetapi yang penting semua yang melibatkan Melayu seperti dalam Perlembagaan. Media dan politik mesti berjalan seiringan untuk membetulkan persepsi serong bahawa apa saja kaitkan dengan "Melayu" hanya untuk orang Melayu. Sekali lagi pertanyaan saya, siapa yang mengendahkan semua ini?

Rakyat lega cadangan ambil alih IJN ditangguh

PENGUMUMAN Sime Darby Bhd untuk mengambil alih 51 peratus ekuiti dalam IJN Holdings Sdn Bhd Rabu lalu, syarikat pengendali Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak di Jalan Tun Razak bersebelahan Hospital Kuala Lumpur (HKL), mengundang persoalan dan keresahan terutama mengenai kebajikan rakyat berpendapatan rendah. Sime Darby menyatakan pengambilalihan itu bertujuan mengukuhkan bahagian perkhidmatan kesihatan konglomerat milik kerajaan itu. Berikutan itu, pengumuman penangguhan pengambilalihan kepentingan IJN oleh syarikat perladangan itu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, melegakan banyak pihak. Mengikut pemahaman umum, pengambilalihan berkenaan dijangka menyebabkan kenaikan kos rawatan dan perkhidmatan yang meningkat seperti ditawarkan hospital swasta di negara ini. Walaupun ada berpendapat apa yang ditawarkan hospital swasta lebih baik daripada kerajaan, namun, bagi yang kurang berkemampuan, wang menjadi ukuran. Maka dengan itu, golongan berpendapatan rendah ini mengharapkan IJN bagi mendapatkan rawatan terbaik, termasuk pembedahan subsidi yang diberikan kerajaan. Melihat kepada track record IJN, ia bukan hanya cemerlang memberikan rawatan berkaitan penyakit kardiovaskular di negara ini malah mencatat kejayaan dengan membuat beberapa rekod baru di peringkat antarabangsa. Ditubuhkan pada 1992 dan diurus IJN Holdings, iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, ia dibangunkan bagi memenuhi keperluan pesakit jantung dengan menyediakan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak. IJN juga menjadi pusat rujukan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular. Sejak ditubuhkan, institut itu menerima lebih sejuta pesakit dengan 131,000 pesakit dirawat di wad dan dalam tempoh 16 tahun, 35,000 pembedahan dijalankan dan daripada jumlah itu, 24,000 membabitkan kes pembedahan jantung terbuka. IJN juga mencatat kejayaan pada peringkat antarabangsa dalam melakukan pembedahan endoskopi yang pertama di rantau Asia dan Australasia bagi merawat fibrilasi atrium. Kejayaan IJN disusuli apabila ia menjadi satu-satunya pusat rawatan jantung di Asia Pasifik yang terpilih untuk pelancaran secara langsung prosedur kardiologi intervensi pada Persidangan Euro Pcr05 yang berprestij di Paris, Perancis dan menjadi institut pertama di dunia melakukan pembedahan jantung insisi poket yang menggunakan pembaikan atau penggantian injap mitra port jantung. Melihatkan kejayaan IJN, sudah tentu ramai yang mengintai peluang untuk memilikinya sebagaimana dihasratkan Sime Darby yang kini memiliki Pusat Perubatan Pakar Subang Jaya (SJMC). Kebimbangan dan kekhuatiran rakyat berkenaan pengambilalihan berakhir kelmarin dan ramai yang memuji kerajaan kerana prihatin dengan nasib rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan. Ada suara nakal menyatakan keputusan kerajaan itu ada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Januari depan bagi meraih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN). Namun, ia disangkal Najib kerana pertimbangan kerajaan mengenai penangguhan pengambilalihan itu mengambil kira kesulitan dan rintihan rakyat. Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan penangguhan keputusan berhubung cadangan pengambilalihan IJN Holdings itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan, sebaliknya untuk kepentingan rakyat. "Ia ditangguhkan sehingga kajian mendalam itu dijalankan, mungkin memakan masa beberapa bulan tetapi faktor masa itu bukanlah sesuatu yang penting. "Apa yang lebih penting ialah keputusan yang akan dibuat nanti akan benar-benar menguntungkan rakyat dan dapat membangunkan IJN sebagai pusat jantung yang bertaraf dunia," katanya Mengimbau persetujuan kerajaan terhadap pengambilalihan Sime Darby itu, ia dengan syarat tanggungjawab sosial IJN tidak dipinggirkan atau dikurangkan sama sekali. Malah, kerajaan memberi jaminan akan terus memberi sumbangan untuk pembedahan di IJN, walaupun selepas pengambilalihan oleh konglomerat itu. Selain itu, pada mata kerajaan tiada salahnya mengenai penswastaan IJN kerana sebarang kemungkinan akan berlaku 10 tahun akan datang terutama jika jumlah pesakit jantung semakin meningkat dan institusi itu tidak lagi boleh berperanan sebagai biro pengaduan pesakit miskin. Suara menentang pengambilalihan itu diluahkan pelbagai pihak persatuan perubatan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berpendapat status pusat perubatan itu dikekalkan bagi memastikan objektif asal penubuhannya bagi mewujudkan pusat perubatan kerajaan dengan kemudahan serta pakar kelas pertama bertujuan merawat semua golongan rakyat, tidak tersasar. Mereka yang nyata gembira dengan keputusan terbaru kerajaan itu mahu kerajaan bukan hanya menangguhkan tetapi membatalkan terus hasrat menswastakan IJN. Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan seeloknya membatalkan terus hasrat menswastakan IJN demi kepentingan rakyat. “Usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan rawatan IJN bukan terletak kepada penswastaan semata-mata. Ada cara lain lebih baik serta memberi manfaat kepada penerima rawatan di institut berkenaan terutama golongan miskin,” katanya. Perkara itu diakui Presiden Persatuan Perubatan Doktor Utama Malaysia (Pcdom), Dr Molly Cheah yang percaya tindakan menswastakan IJN hanya mengundang keresahan di kalangan rakyat untuk mendapatkan rawatan terbaik pada kos yang tidak membebankan. “Persoalannya mengapa Sime Darby Berhad tiba-tiba berminat kepada sektor kesihatan sedangkan kepakaran syarikat berkenaan bukannya dalam sektor ini. Ini menimbulkan kekeliruan sama ada tindakan Sime Darby ini sebenarnya didorong daripada industri pelancongan kesihatan yang semakin berkembang pesat khususnya di rantau ini,” katanya yang lega apabila penswastaan itu ditangguhkan. Presiden Cuepacs, Omar Osman menyatakan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat kerana menangguhkan penswastaan berkenaan. “Ini membuktikan kerajaan meneliti semula objektif penubuhan institut ini, memberi rawatan berkualiti tinggi dengan kos tidak membebankan kepada golongan rakyat tidak berkemampuan,” katanya. Berikutan keputusan kerajaan menangguhkan keputusan itu, Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Mohd Fauzi, Jani berkata kerajaan mengambil keputusan bijak kerana IJN adalah institusi tunggal yang menawarkan perkhidmatan kesihatan berkaitan penyakit kardiovaskular dan seumpamanya. Justeru, katanya kerajaan mengambil kira wujud monopoli dan apabila diswastakan ia akan menyebabkan syarikat yang mahu mengambilalih IJN akan memikirkan keuntungan berbanding tanggungjawab sosial. “Itu sebab kerajaan menyatakan menangguhkan cadangan pengambilalihan bukannya membatalkan terus hasrat menswastakan institusi berkenaan,” katanya. Beliau berkata, keputusan awal untuk menswastakan IJN adalah kerana memikirkan bebanan yang ditanggung akibat permintaan terhadap IJN yang semakin bertambah setiap tahun. Katanya, kerajaan percaya penswastaan itu penting apabila mereka tidak lagi mampu menanggung kos perkhidmatan kesihatan yang diberikan sebagaimana berlaku dalam penswastaan hospital. “Kira-kira 15 tahun lalu, kerajaan mula membuka polisi membenarkan hospital diswastakan dan penubuhan hospital swasta bagi mengurangkan kos kerajaan. Namun, bukan semua hospital di swastakan kerana masih mengambil kira golongan rakyat berpendapatan rendah. “Maka, kini di Malaysia ada dua perkhidmatan kesihatan iaitu satu dimiliki kerajaan dan satu lagi swasta. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan besar dan berkemampuan, sudah tentu mahukan perkhidmatan eksklusif dan cepat yang menuntut mereka memilih hospital swasta. “Bagi golongan berpendapatan rendah, mereka masih terus menikmati perkhidmatan kesihatan percuma atau bayaran serendah RM1, menerusi klinik kesihatan komuniti dan hospital kerajaan,” katanya. Pendapat yang sama turut dinyatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan penswastaan itu bukan satu idea yang baik memandangkan institut itu “adalah badan amal yang unik" berdasarkan kepada prestasinya yang cemerlang setakat ini. “Setakat ini tiada aduan mengenai IJN. Mereka sudah menunjukkan prestasi cemerlang. Berkhidmat kepada yang kaya dan miskin. Semua orang mendapat manfaat daripada IJN termasuk saya sendiri,” katanya. Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lin mengalu-alukan keputusan terbaru kerajaan menangguhkan pengambilalihan IJN dan mahu kerajaan mendapatkan maklum balas serta pandangan orang ramai dan NGO sebelum membuat sebarang keputusan. “Kami bimbang apabila syarikat swasta ambil alih, kebajikan golongan miskin akan diketepikan dan mereka mungkin tidak mendapat rawatan perubatan pada kadar rendah. Kami prihatin kerana pada akhirnya dalam apa juga keadaan, perkara pokok adalah membuat untung kerana mereka perlu menjawab kepada pemegang saham, mereka tidak boleh mencatat kerugian. “IJN adalah mutiara bagi pesakit jantung di negara ini... ia senang didekati pesakit jantung yang miskin,” katanya. Mengenai desakan dalaman terutama kakitangan IJN yang mahukan penswastaan diteruskan, bagi membolehkan mereka mendapat gaji lebih tinggi dan pakar perubatannya akan meninggalkan hospital berkenaan jika permintaan supaya gaji mereka dinaikkan tidak dipenuhi adalah taktik sengaja direka pihak berkepentingan yang sebenarnya mahu pengambilalihan menjadi kenyataan. IJN dalam kenyataannya kelmarin menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mahu pandangan negatif dilemparkan terhadap kakitangan. “Ia perlu diperbetulkan supaya pakar perubatan atau kakitangan IJN tidak dipandang serong masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, apatah lagi ia mampu menjatuhkan reputasi cemerlang mereka, di samping menggugat keyakinan rakyat,” katanya.