Sunday, January 11, 2009

AS layak digelar 'SAMSENG DUNIA'

Bush tidak hirau protes antarabangsa terhadap kezaliman rejim Israel APABILA Barack Hussein Obama memenangi pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) November lalu, ramai terutama di kalangan pemimpin Islam di seluruh dunia, menaruh harapan bahawa pemimpin kulit hitam pertama dan berasal daripada keturunan Islam itu, mempunyai kedudukan paling baik untuk menangani isu Palestin-Israel. Bagaimanapun mereka lupa hakikat sejarah di Rumah Putih, sekurang-kurangnya sejak lebih setengah abad lalu, bahawa tiada siapa pun dapat bertahan di Oval Office tanpa tunduk kepada telunjuk pelobi Yahudi dan Obama juga tidak terkecuali. Tindakan rejim Tel Aviv melancarkan keganasan terbaru dan terburuk ke atas Gaza beberapa minggu sebelum Obama mengangkat sumpah Presiden adalah isyarat jelas pelobi Yahudi sama ada kepada dunia atau Obama sendiri, bahawa Rumah Putih boleh mempunyai presiden pertama dari keturunan kulit hitam atau siapa saja tetapi tidak mungkin mampu mengubah dasar AS terhadap Israel.
Pendirian berkecuali AS ketika pengundian resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang 'menuntut diadakan gencatan senjata segera, berpanjangan dan dipatuhi sepenuhnya, seterusnya membawa kepada pengunduran seluruh tentera Israel dari Gaza' minggu lalu, jelas memperlihatkan pengaruh Yahudi di Washington. Semua tahu Kongres AS dan Rumah Putih sebenarnya didalangi oleh pengaruh kaum Yahudi. Pengaruh pelobi Yahudi bukan setakat itu, malah merangkumi hampir semua sektor penting di negara kuasa besar itu. Apabila bekas Senator AS, Paul Findley menyiapkan bukunya 'They Dare To Speak Out', beliau terpaksa menjaja manuskripnya ke merata tempat sebelum dapat dicetak kerana syarikat penerbitan AS dimonopoli oleh kaum Yahudi. Presiden George W Bush minggu lalu, bukan saja tidak mengendahkan protes dunia terhadap kezaliman Israel di Gaza tetapi menggesa semua pihak menekan Hamas supaya menghentikan serangan roket ke negara Yahudi itu.
Pada pandangan AS, rejim Yahudi tidak bersalah dengan apa yang berlaku di Gaza sekarang walaupun tindakan Israel terang-terangan bercanggah dengan etika peperangan seperti menggunakan serbuk 'phosphorous' semalam. PBB sudah kehilangan fungsinya apabila AS sejak dulu tidak lagi menghormati resolusinya. Isu Palestin tidak akan selesai kerana AS yang mempunyai kuasa veto tidak mahu ia diselesaikan mengikut kehendak antarabangsa. Selayaknya AS digelar samseng dunia dengan Israel sebagai 'barua'nya di Asia Barat. Soalnya apakah kita mahu membiarkan keadaan itu terus berlaku? Jawapannya tentu tidak apalagi yang menjadi mangsanya ialah saudara seagama. Bagaimanapun AS-Israel tidak mungkin mengubah pendirian mereka selagi dunia terutama negara Islam dan Arab sendiri tidak bersatu menentang keganasan itu. Faktor inilah yang menyebabkan negara Islam sejak sekian lama menjadi bahan percaturan AS dan rejim Yahudi. Jika rakyat Palestin sendiri tidak sekata dalam menghadapi rejim Tel Aviv, bagaimana kita boleh mengharapkan negara Islam lain. Begitupun ia bukan bermakna kita harus berdiam diri melihat jenayah kemanusiaan di Gaza sekarang. Penduduk Palestin di wilayah Gaza sudah menderita sejak sekian lama akibat pendudukan Israel, yang turut mengenakan sekatan selama 18 bulan ke atas semua pintu sempadannya.
Bantahan terhadap kezaliman rejim Yahudi dan sumbangan kepada Tabung Gaza, sekurang-kurangnya memperlihatkan kepada dunia bahawa kita rakyat Malaysia tanpa mengira agama memandang berat dengan apa yang berlaku di Gaza. Dan sebagai rakyat, kita berharap Sidang Khas Parlimen mengenai Gaza hari ini menetapkan pendirian dan inisiatif untuk menggerakkan masyarakat antarabangsa menangani konflik di wilayah itu secara berkesan. Sidang itu adalah lanjutan daripada inisiatif lain Kuala Lumpur untuk menghentikan kekejaman berlanjutan oleh rejim Tel Aviv yang sejak 27 Disember lalu menyerang penduduk Palestin serta pelbagai kemudahan di wilayah itu, sekali gus mengancam nyawa 1.5 juta penduduknya. Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan memulakan ucapan, disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Turut dijadualkan berucap ialah Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum dibahaskan oleh Ahli Parlimen dan digulung oleh Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim. Kita harus percaya kekerasan dan ketenteraan masih boleh ditewaskan dengan demokrasi dan diplomasi. Demokrasi membenarkan kita bersuara, mengeluarkan pendapat malah mengkritik apa saja yang wajar. Kita berhak menyuarakan pendapat kita dan AS berhak menyuarakan pendapatnya. Justeru, sidang khas Parlimen hari ini tidak seharusnya dipenuhi ucapan retorik kosong sebaliknya diisi dengan cadangan bernas yang mampu diterima dan dilaksanakan masyarakat antarabangsa. Lebih penting lagi, sidang khas hari ini mesti mencerminkan Parlimen Malaysia tanpa mengira perbezaan politik, bersatu dalam menyatakan pendiriannya terhadap kekejaman Israel dan sikap AS. Ini amat penting kerana hampir semua perkara di negara ini sekarang dipolitikkan. Malah, perkembangan di Gaza pun sudah dipolitikkan apabila Pas, dalam kempennya di pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu sekarang, menyamakan hubungannya dengan Umno seperti pergerakan Hamas dan Fatah di Palestin. Walaupun dari segi saingan politik, dakwaan itu mempunyai asas, ia juga menggambarkan perpaduan umat Islam di negara ini walaupun untuk menghadapi musuh bersama, bukan agenda parti itu. Soalnya, jika Pas dan Umno umpama Hamas dan Fatah, siapakah pula rejim Zionisnya?

Monday, January 5, 2009

Masyarakat Dunia PERLU Bersatu 'CELIKKAN" Yahudi

DUNIA sejagat terutama dunia Islam perlu untuk bertindak secara kolektif menentang kezaliman dan jenayah perang dilakukan Israel ke atas Palestin di Gaza. Setiap negara, khususnya negara Islam hendaklah menunjukkan bantahan di setiap dewan perundangan di negara berdaulat dengan menyatakan bahawa Israel adalah negara pengganas. Biar catatan hansard (rekod) Parlimen di setiap badan legislatif di seluruh dunia mempunyai penyataan bersama yang mengesahkan status dan mendefinisikan serta mengklasifikasikan rejim Zionis sebagai pengganas. Tindakan rejim Zionis menyerang dan memusnahkan bangunan Parlimen di Gaza memperlihatkan bukan saja keruntuhan bangunan terbabit, malah secara simboliknya, menerusi tindakan menyerang dan memusnahkan bangunan Parlimen Palestin itu, menunjukkan satu keangkuhan Tel Aviv serta pencabulan ke atas hak kedaulatan sesebuah negara.
Dalam dunia moden masa kini, setiap negara semestinya mempunyai dewan perundangan tersendiri dan dalam konteks ini ia perlu dihormati dan dalam masa peperangan juga, bangunan yang menempatkan badan legislatif perlulah tidak diganggu gugat. Parlimen adalah simbolik kepada kedaulatan sesebuah negara. Jika Israel mampu bertindak memusnahkan bangunan Parlimen, bermakna bagi Israel, institusi perundangan Palestin tiada maknanya bagi rejim Zionis itu. Bagi saya, adalah amat mendukacitakan serta memalukan seluruh ahli badan legislatif di negara berperundangan dan berdaulat jika tindakan tegas untuk mengecam pencerobohan dan kemusnahan simbol legislatif di bumi Palestin tidak diendahkan dunia.
Maruah badan legislatif dunia seolah-olah tercabar dan tercalar jika nasib badan perundangan dan ahlinya yang juga sepatutnya menjadi rakan kepada ‘kelab ahli legislatif dunia’ tidak dipedulikan masyarakat ahli legislatif sejagat. Jika badan legislatif yang dipilih keahliannya secara demokrasi oleh masyarakat Palestin tidak dihormati Israel, apatah lagi untuk bertindak ganas dan kejam terhadap bukan saja kepemimpinan Palestin dengan Hamas menjadi mangsa, begitu juga rakyat Palestin diperlakukan dengan tidak berperikemanusiaan. Untuk itulah, maka Israel tidak teragak-agak melakukan pencabulan ke atas hak asasi Palestin sejak sekian lama kerana bagi mereka Palestin tidak berdaulat dan bukan sebuah negara bebas yang perlu dihormati, melainkan ia dianggap sebagai jajahan Israel dan penghalang kepada kewujudan ‘Greater Israel’ itu sendiri. Dunia perlu tegas mensinonimkan secara sah bahawa Zionis adalah ideologi, tindakan, rejim mahupun sokongan kepadanya adalah pengganas dan tindakan menyokong Zionis ini adalah menyamai sokongan ke atas pengganas.
Tindakan ganas dan kejam Israel yang tanpa segan melancarkan serangan ke atas Gaza yang membunuh ribuan nyawa serta mengancam survival lebih 1.5 juta penduduk di wilayah berkenaan adalah bukti betapa rejim Zionis tidak berperikemanusiaan dan bertindak secara komprehensif melakukan jenayah perang yang tersusun. Segala tindak tanduk rejim Zionis dilihat sebagai satu penghinaan ke atas perundangan dunia. Jika lain negara menyerang wilayah lain, seperti yang dapat dilihat kecaman dunia ke atas Iraq apabila menawan Kuwait pada 1990-an dulu dan dunia bertindak menggesa pembebasan segera Kuwait dari penjajahan dan reaksi cepat Washington dan sekutunya untuk bertindak melakukan serangan balas bagi tujuan membebaskan Kuwait, dilihat sebagai satu keperluan antarabangsa. Namun, dalam soal Palestin, Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya tidak pula memperlihatkan bahawa wujud keperluan dan komitmen bagi memerdekakan Palestin daripada belenggu taklukan Zionis. Yang penting diperlihatkan ialah apa saja yang dilakukan Tel Aviv dikatakan sebagai tindakan bersifat kepentingan nasional dan demi mempertahankan diri bagi memastikan kewujudan berterusan negara Yahudi Israel. Dana besar-besaran serta dilengkapkan dengan bantuan ketenteraan termoden segera disalurkan bukan kepada mangsa kezaliman, sebaliknya kepada pemangsa yang bertindak melakukan kezaliman. Inilah tindakan hak asasi manusia dilakukan Barat. Yang lemah dibiar tertindas, manakala yang sedia kuat diberi lebih kekuatan bagi terus memusnahkan yang lemah. Undang-undang antarabangsa tidak dihormati dan akhirnya Israel dimanjakan dunia serta dibiarkan untuk memperlakukan apa saja yang dikehendaki terhadap bukan saja penduduk Palestin, malah mampu menyerang wilayah dan negara lain, termasuk juga Lubnan. Untuk itu, perspektif dibina pada peringkat sejagat bahawa tidak wujud sebuah negara Palestin dan yang hanya wujud ialah Israel sebagai sebuah negara. Pada masa sama, masyarakat Arab Palestin hanya dianggap sebagai setinggan di negara tadbiran rejim Zionis itu. Inilah dogma persepsi yang dibina pelobi Yahudi di dunia Barat dan tanpa sedar, seolah-olah Israel dalam apa keadaan sekalipun dianggap lemah dan bila-bila masa mampu dimusnahkan gerombolan negara Arab sekitarnya hinggakan segala bantuan ke atas memastikan kewujudan Israel dianggap penting dan wajib bagi kepemimpinan Rumah Putih dan dunia Barat. Isu kemusnahan bangsa Arab di Palestin dipinggirkan begitu saja. Lihat saja tindakan Barat menyenaraikan Hamas sebagai pengganas dan pada masa sama digunakan Israel untuk membelasah Hamas di Gaza. Dunia diperlihatkan bahawa dengan tindakan ketenteraan Israel ini, maka masyarakat awam menjadi korban sama seperti yang dilakukan Israel ke atas Lubnan kononnya bagi memerangi pengganas, iaitu Hizbullah sedangkan secara langsung Lubnan menjadi mangsa keruntuhan dan terkorbannya begitu ramai orang awam tidak berdosa. Dunia hari ini tidak harus membiarkan istilah pengganas digunakan sewenang-wenangnya oleh Barat, termasuk AS dan juga sekutunya bagi menghalalkan sebarang tindakan kejam yang mampu meragut ribuan dan jutaan mangsa jika dikira sejak sekian lama. Kini nasib 1.5 juta penduduk Gaza bergantung kepada ketegasan dunia, termasuk masyarakat Arab, Islam dan masyarakat yang cintakan keamanan seluruh dunia untuk bertindak secara kolektif dan universal bagi membentuk satu jaringan mesej kepada Washington dan juga Tel Aviv bahawa kedua-dua negara ini sedang menghalalkan jenayah dan pembunuhan. Dunia harus memberikan mesej bahawa kepemimpinan Israel adalah bermoralkan jenayah. Menjenayahkan Zionis dan rejimnya di Israel adalah perlu, sama seperti usaha menjenayahkan perang. Serangan ke atas bangunan kerajaan Palestin di Gaza termasuk Parlimen, bangunan Presiden serta juga hospital dan universiti serta sekolah termasuk kediaman penduduk adalah jelas satu tindakan jahil yang dilakukan pengganas menggunakan kapasiti negara yang tidak langsung beralaskan kepada peraturan serta perundangan antarabangsa. Akibatnya, pencabulan hak awam serta juga hak asasi manusia tidak dipedulikan kerana aspek terbesar perundangan dunia antarabangsa juga dicabuli tanpa sekatan dan tindakan sekatan oleh masyarakat dunia mampu dilakukan terhadap rejim Zionis terbabit. Dalam perspektif Zionis, perundangan antarabangsa adalah hanya terakru kepada lain-lain negara dunia dan Tel Aviv terkecuali, kerana kononnya yang diperangi adalah pengganas. Maka, atas alasan itu, tindakan ganas rejim Zionis diperundangkan secara sah dan benar. Ini memperlihatkan strategi bijak Zionis untuk mengaburi mata dunia antarabangsa, terutama bagi negara di Barat dengan meletakkan label terlebih dulu sebelum serangan dilakukan secara besar-besaran dan tersusun. Masyarakat Israel juga perlu keluar daripada doktrin Zionis yang dipegang sejak agenda menubuhkan Israel dilakukan. Jika doktrin Zionis berjaya dibuang masyarakat Yahudi seluruh dunia dan oleh warga Israel itu sendiri, maka dunia akan kembali aman selamanya tanpa konflik dan Israel serta Palestin mampu hidup bersama tanpa pertentangan berdarah. Kini dunia perlu melihat bahawa usaha mematahkan ‘ego Zionis-Tel Aviv’ adalah satu usaha sejagat yang perlu merangkumi masyarakat yang cintakan keamanan di dalam negara Israel itu sendiri dan juga di dunia Barat serta disokong oleh masyarakat sejagat seluruhnya. Umat Islam yang mendiami seluruh negara di dunia ini perlu bertindak sebagai ejen pelobi kepada kerajaan di negara masing-masing untuk ‘menjenayahkan Zionis’ bagi menyekat tindakan kejam Tel Aviv. Masyarakat di Malaysia tanpa mengira ideologi perlu bersama mengutuk tindakan Israel yang sedang memerangi komuniti lemah di Palestin. Jika setiap negara di dunia ini tanpa mengira kerajaan mahupun pembangkang dapat bersama-sama memberikan mesej kepada Tel Aviv dan Washington bahawa dunia seluruhnya mengecam tindakan ganas dan menaja keganasan juga perlu dihentikan, maka mudah-mudahan kepemimpinan baru Washington yang bakal dipimpin Barack Obama mungkin dapat sekurang-kurangnya mendisiplinkan anak manjanya, Israel.

Kelonggaran Bayar Yuran Sekolah Usah Diambil Mudah

MUSIM persekolahan tahun ini nampaknya berlangsung tanpa sebarang kontroversi, terutama membabitkan keluhan ibu bapa yang sering kita dengar setiap awal tahun. Semuanya bermula dengan langkah Kementerian Pelajaran mengeluarkan pekeliling kepada semua sekolah di seluruh negara bagi menangguhkan kutipan yuran sekolah dan pelbagai yuran lain sehingga April. Selain itu, langkah proaktif sekolah menyalurkan skim pinjaman buku teks kepada semua pelajar sebelum cuti persekolahan bermula November lalu menyebabkan urusan persekolahan yang biasanya kecoh pada awal tahun berjalan lancar. Ini bermakna langkah kementerian berjaya menyelesaikan masalah yang biasanya timbul setiap kali sekolah dibuka. Sejumlah enam juta pelajar mengikuti pengajian di seluruh negara tahun ini. Kecuali puluhan ribu pelajar di kawasan terbabit dengan banjir di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang tidak dapat ke sekolah kerana bangunan sekolah dinaiki air atau menjadi kawasan penempatan sementara mangsa banjir, pelajar di negeri lain meneruskan persekolahan seperti biasa. Sehingga kini, lebih 30,000 pelajar membabitkan hampir 40 sekolah di Kelantan tidak ke sekolah dan hal sama turut dialami pelajar di Terengganu, Pahang dan Sabah. Kita menyokong langkah proaktif kementerian yang semakin menyedari masalah tekanan kewangan dihadapi ibu bapa yang mempunyai ramai tanggungan setiap kali musim persekolahan bermula, selepas berhempas pulas mencari wang untuk persiapan sekolah anak. Dengan langkah diambil bagi pembayaran pelbagai yuran tiga bulan selepas sekolah dibuka, ia membolehkan ibu bapa kembali bernafas. Ini penting memandangkan kegawatan ekonomi semakin dirasai apabila ada kalangan ibu bapa kehilangan pekerjaan berikutan penutupan kilang kesan krisis ekonomi global dan sudah pasti, tindakan yang diambil kerajaan itu cukup melegakan. Cuma harapan kita, ibu bapa tidak mengambil kesempatan terhadap kelonggaran disediakan sekolah dan semua yuran diwajibkan perlu dibayar, walaupun secara berperingkat. Ini membolehkan sekolah menjalankan kegiatan, terutama yuran membabitkan kegiatan pelajar. Tanpa peruntukan tambahan menerusi yuran, sesetengah sekolah tidak dapat menjalankan aktiviti terutama melalui pungutan yuran Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) yang diwajibkan kepada pelajar. Sehubungan itu, pengurusan sekolah perlu mendapatkan dana khas daripada kementerian bagi membolehkan kegiatan pelajar dilaksanakan sebaik saja sesi sekolah dibuka, tanpa menunggu kutipan pelbagai yuran dikenakan. Ini dapat mengelak aktiviti pelajar terbantut atas alasan sekolah tidak mempunyai dana mencukupi. Ibu bapa nampaknya tidak mempunyai alasan lagi terhadap pendidikan anak dan mereka perlu memastikan anak belajar dan membantu sekolah meneruskan kecemerlangan. Ini penting kerana tanpa sokongan dan kerjasama ibu bapa, pihak sekolah tidak mampu untuk menjadikan anak mereka sempurna di dalam pelajaran. Kejayaan anak di sekolah, sebahagiannya disumbangkan ibu bapa di rumah dan atas keyakinan itu, kedua-dua pihak perlu bertanggungjawab bagi memastikan mutu pendidikan negara terus meningkat.