Monday, December 22, 2008

Gejala RASUAH Sukar Dibendung Sejak Zaman Rasulullah Lagi

RANG Undang-Undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2008 yang diluluskan baru-baru ini selepas dibentangkan di Parlimen menunjukkan kesungguhan kerajaan memerangi amalan rasuah. Biarpun ramai yang menyedari rasuah adalah haram, dibenci Allah dan menyalahi undang-undang, gejala ini terus berkembang di kalangan masyarakat sama ada pada peringkat atasan atau bawahan. Dua kemungkinan yang membawa kepada hebatnya gejala ini sehingga berleluasa di kalangan masyarakat kerana ketidakfahaman terhadap istilah rasuah serta kuatnya perasaan tamak haloba untuk memiliki kekayaan atau kemewahan dengan cepat. Perbuatan tumbuk rusuk ini bukan perkara baru dalam kehidupan masyarakat moden. Justeru, ia dianggap perbuatan lazim dalam kehidupan seharian. Gejala rasuah kini antara penyakit sosial yang sukar untuk diubati. Rasuah menjadi ancaman cukup berbahaya dalam perkembangan ekonomi sesebuah negara. Perbuatan rasuah akan mengancam seluruh sistem pembangunan negara dan bakal melahirkan masyarakat yang kucar-kacir dan menyumbang kepada keruntuhan bangsa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang kami tunjukkan (lantik) untuk memegang sesuatu jawatan yang kami tetapkan pula pendapatannya, jika dia mengambil lebih daripada itu, maka sebenarnya dia sudah mencuri.” Rasulullah SAW mengutuk sesiapa yang memperoleh harta dan wang melalui rasuah. Khalifah Umar al-Khattab pada masa pemerintahannya juga sentiasa melafazkan perkataan amat berat dan kasar kepada pengamal rasuah. Kekeliruan dan kejahilan mengenai rasuah mungkin berpunca daripada pemahaman cetek terhadap kalimah rasuah yang disangka hanya membabitkan wang semata-mata. Rasuah bukan saja membabitkan wang, tetapi turut merangkumi aspek kehidupan lain seperti tidak menjalankan tanggungjawab mengikut tempoh masa ditetapkan atau berlaku tidak jujur dan menyeleweng dalam tindakan serta perbuatan. Pengamal rasuah biasanya lebih kuat menjalankan tugasnya apabila ditawarkan dengan sogokan. Manusia yang mengamal rasuah ini jarang memikirkan segala tindak-tanduk mereka adalah penganiayaan yang sengaja dirancang untuk menindas orang lain. Mereka yang tidak berhak diberikan hak dengan cara batil, sementara yang berhak pasti akan kehilangan peluang walaupun mereka sebenarnya mempunyai kemampuan dan kudrat untuk melaksanakan amanah. Justeru, pengamal rasuah yang hidup saling menindas semakin alpa dengan tuntutan agama.
Kemewahan dan kekayaan segera yang diperoleh menutup pintu hati daripada mengingati Allah, bahkan seperti sengaja menimbun dosa dan noda akibat perbuatan sendiri.
Rasulullah SAW sering berpesan kepada pegawai dan pentadbir pada zaman Baginda supaya tidak menunjukkan kemewahan hidup yang mereka ada terutama ketika berurusan dengan orang ramai. Baginda SAW berkata kepada Muaz Jabal yang dilantik menjadi Duta ke Yaman: “Wahai Muaz, jauhilah hidup kamu daripada keadaan serba mewah kerana hamba Allah yang setia bukanlah begitu sifatnya.” Muaz mematuhi pesanan Rasulullah SAW kerana tidak ingin menderhaka Allah dan tidak mahu tergolong dalam umat Muhamad sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Nanti akan ada di kalangan umatku yang memakan sajian makanan dan minuman yang bermacam serta memakai beraneka jenis pakaian dan mereka bijak pula bercakap, berbual dan membelitkan lidah. Mereka itulah penjahat dalam umatku.” (Hadis riwayat al-Tabrani). Seorang pegawai Rasulullah SAW di bahagian perbendaharaan negara yang menjalankan tugasnya sebagai pemungut cukai bertemu Baginda untuk menyerahkan hasil kutipan cukai. Kata pegawai itu: “Ya Rasulullah, inilah hasil negara dan ini pula hadiah untuk saya.” Mendengar hal itu, air muka Rasulullah SAW segera berubah, lalu Baginda berkata: “Aku sudah mengangkat seorang pegawai untuk satu pekerjaan. Sesudah dia bertugas, ada pula hak untuk negara dan hak untuk dirinya. Andainya dia duduk di rumah ibu bapanya dia akan mendapat hadiahkah sekiranya dia jujur? Janganlah kamu mengambil sesuatu yang bukan hak kamu supaya kamu tidak diseksa kerana wang atau pemberian itu di hari akhirat kelak.”
Gejala rasuah terlalu banyak mencetuskan pelbagai kes jenayah seperti peras ugut, membunuh, dendam dan pelbagai gejala lain yang boleh memusnahkan kehidupan manusia secara keseluruhan.
Pengamal rasuah tidak akan mampu menggunakan akal dengan rasional kerana jiwa dan hati mereka sudah jauh terpesong daripada landasan syariat sebenarnya. Mereka sudah hilang rasa kasihan dan kemanusiaan sebaliknya akan mudah berkelakuan ganas dan zalim apabila tidak memperoleh apa yang mereka idamkan. Sudah tidak ada lagi rasa keinsafan dan kesedaran bahawa diri mereka adalah milik Allah dan bakal kembali kepada Allah. Mereka juga lupa bahawa segala amalan dan tindak tanduk seharian bakal dihisab oleh Allah pada hari akhirat kelak. Larangan terhadap perbuatan rasuah dijelaskan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: “Allah melaknat orang yang menyogok dan minta disogok.” (Hadis riwayat Ahmad, Tarmizi dan Ibnu Hibban) Laknat Allah bukan saja kepada pemberi, malah penerima rasuah kerana jelas kedua-duanya melakukan kezaliman. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memakan harta sesama kamu dengan jalan yang batil. Lalu kamu membawa urusan harta itu kepada hakim dengan maksud supaya kamu dapat memakan harta setengah kamu dengan jalan dosa, padahal kamu mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah, ayat 188) Sebagai insan mukmin yang cintakan kemurnian hidup di atas landasan syariat Islam, maka marilah kita berganding bahu membendung gejala rasuah daripada terus merebak di kalangan umat Islam kerana kita bertanggungjawab membasmi penyakit sosial yang amat dikutuk Allah ini.

No comments:

Post a Comment